Tinggalkan Dolla demi kelangsungan hidup - Utusan Malaysia

Tinggalkan Dolla demi kelangsungan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal, menyifatkan tindakannya mengundurkan diri daripada kumpulan sensasi itu sebagai keputusan yang sukar dalam hidupnya. 

Namun begitu, Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, terpaksa memilih jalan itu demi kelangsungan hidup walaupun melukakan hati peminat.

“Saya tahu keputusan saya sedikit sebanyak buat ramai keliru, marah dan terguris perasaan, 

“Namun takdir telah tertulis bahawa saya perlu membuat keputusan paling sukar ini demi kelangsungan hidup.

“Saya tahu sebahagian peminat terluka dengan keputusan ini tapi sejujurnya, luka itu lebih besar untuk saya sendiri kerana perlu menerima dan melalui ketentuan ini,” katanya menerusi sepucuk surat yang dimuat naik di media sosial miliknya malam tadi.

Bukan itu sahaja, Syasya turut berharap agar peminatnya akan terus menyokong kumpulan Dolla yang dianggotai Sabronzo, Angel dan Tabby yang sudah dianggap seperti kakaknya sendiri.

“Dolla adalah segalanya dan sangat berharga buat saya. Impian untuk Dolla melangkah ke pentas antarabangsa masih saya sematkan dalam jiwa walaupun sudah tidak lagi bersama mereka.

“Saya yakin kakak-kakak di Dolla masih boleh meneruskan impian mereka dengan sokongan peminat kami. Semangat saya sentiasa bersama mereka,” jelasnya.

Walaupun bukan lagi bergelar penyanyi M-pop, Syasya bagaimanapun meyakinkan peminat bahawa dia masih seorang wanita yang sama sejak penubuhan Dolla lima tahun lalu. 

“Mohon doa kalian yang baik-baik saja untuk saya dan keluarga.

“Jangan risau saya masih Syasya yang sama kalian kenal pada tahun 2019,” tambahnya.

Terdahulu, syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengumumkan salah seorang anggota Dolla, Syasya mengundurkan diri berkuat kuasa pada 8 April lepas

Syasya bagaimanapun tidak menjelaskan sebab pengunduran itu sehinggalah sebuah foto tersebar mengesahkan penyanyi itu selamat bergelar seorang isteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya