HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao mendahului kiraan undi tidak rasmi dengan memperolehi 2,153 undi berbanding Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Khairul Azhari Saut (413 undi).
Sementara calon bebas Nyau Ke Xin menduduki tangga ketiga dengan memperoleh enam undi berbanding wakil Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin dengan tiga undi.
PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, PH yang menampilkan Sock Tao dan PN pula mempertaruhkan Khairul Azhari. Dua lagi dalam saingan tersebut adalah Hafizah daripada PRM dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
PRK Kuala Kubu Baharu diadakan apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 itu diisytihar kosong oleh Speaker Dewan Negeri Selangor selepas penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong memperoleh 14,862 sekaligus berjaya mempertahankan kerusi tersebut yang dimenanginya sejak 2013 dengan 4,119 majoriti. – UTUSAN