The Idea of You: Tiada tarikh luput dalam cinta - Utusan Malaysia

The Idea of You: Tiada tarikh luput dalam cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu kebelakangan ini kerap kali juga cuplikan video serta komen mengenai filem terbaharu di Amazon Prime, The Idea of You (TIOU) dibualkan di aplikasi media sosial saya.

Dengan perasaan ingin tahu yang menebal, saya pun mengunci diri di dalam bilik dengan sebiji epal bagi memberi tumpuan penuh menonton filem yang menjadi perhatian ramai ini.

Sedikit konteks, filem arahan Michael Showalter ini menceritakan tentang seorang wanita yang memasuki usia 40 tahun bernama Solene. Selepas bercerai dengan suaminya, dia tidak berhasrat mengenali mana-mana lelaki.

Sampailah suatu hari, ketika di festival Coachella, dia berkenalan dengan seorang penyanyi terkenal dunia Hayes Campbell (anda boleh bayangkan popularitinya setanding Harry Style) berumur 24 tahun.

Hatinya mula berubah dan mereka kemudian menjalin cinta. TIOU menceritakan proses perjalanan percintaan tersebut.

Dari aspek plot, ia sememangnya sebuah cerita fantasi yang menggiurkan. Cukup setara indah dengan dongeng bawang putih yang berkahwin dengan putera raja ataupun Cinderella, cuma bezanya ini versi zaman media sosial.

USIA 40-AN BUKAN TARIKH LUPUT

Apabila difikirkan kembali, saya suka melihat bagaimana sesebuah naskhah mengangkat suara hati seorang perempuan yang sudah berusia.

Filem ini memberi wacana baru kepada perempuan yang mungkin merasakan hidupnya sudah tamat pada usia 40 tahun.

TIOU secara tidak langsung membawakan mesej bahawa angka 40 adalah permulaan untuk melakukan sesuatu yang baru seperti jatuh cinta.

Solene kehilangan masa remaja apabila dia mula mengandung dan menjadi ibu pada usia sangat muda.

Seperti Solene, siapa tahu anda juga boleh berjodoh dengan bintang dunia yang kacak seperti Nicholas Galitzine.

Cuma, anda haruslah secantik Anne Hathaway. Namun begitu, saya merasakan ketakutan dan pergelutan perasaan seorang wanita berusia 40-an untuk menerima cinta lelaki berusia 24 tahun kurang dikupas dari naskhah ini.

Bagi saya, terlalu mudah untuk Solene bercinta dan menerima Hayes dalam hidupnya.

TIOU juga sebenarnya menyindir budaya selebriti yang tidak masuk akal apabila peminat seolah-olah berhak menentukan siapakah jodoh artis kesukaan mereka.

Dalam kes ini, Hayes dan Solene masing-masing menerima kecaman hebat seluruh dunia apabila percintaan mereka dianggap jijik dan tidak sepadan.

Seolah-olah jika lelaki berusia bercinta dengan wanita muda dianggap biasa. Namun untuk lelaki mencintai wanita yang berusia adalah dosa.

Apapun, saya kuat merasakan bahawa filem ini hanya seronok ditonton kerana Anne Hathaway. Tiada siapa yang boleh memberikan persona filem komedi romantik sekuat Anne Hathaway apa lagi jika anda membesar sejak The Devil Wears Prada atau Princess Diaries.

Apapun, saya boleh katakan TIOU adalah sebuah filem bertih jagung yang menarik. Ia berjaya membuat kita terbuai dan membayangkan betapa indahnya perasaan dicintai lelaki yang digilai semua wanita di atas dunia.

Kemudian filem itu tamat, kita akan mula tersedar betapa tidak masuk akalnya cerita itu semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya