LENGGONG: Selain dikenali sebagai lokasi sejarah berusia jutaan tahun dan penemuan rangka Perak Man, Lenggong turut memiliki keistimewaan tersendiri apabila sedang diusahakan ladang ternakan rusa bagi memenuhi permintaan tinggi daging haiwan tersebut.
Ladang ternakan itu yang terletak di Mukim Durian Pipit, kini mempunyai kira-kira 250 ekor rusa baka timorensis melibatkan keluasan tanah melebihi 20 hektar.
Pengurus Ternakan Rusa dan AgroPelancongan Prospek Lenggong, Mohd. Izwan Noor Azman berkata, ternakan itu diusahakan secara bersama sejak 2020 oleh anggota Koperasi Penggerak Ekonomi Lenggong Berhad di samping sokongan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak.
Katanya, menjelang Syawal baru-baru ini, ladang ternakan itu membuka tempahan kepada penggemar daging rusa. Sebanyak 15 ekor yang disembelih dengan hasil jualan dicatatkan kira-kira RM25,000.
Mohd. Izwan bagaimanapun berkata, jualan yang dilakukan itu adalah terhad bagi memastikan pembiakan haiwan dapat dikawal dan berpanjangan.
“Memang permintaan tinggi. Tetapi kita tidak boleh sembelih banyak untuk menjaga baka. Jadi kita terhadkan jualan untuk hari raya sahaja,” katanya.
Harga daging rusa itu adalah RM75 sekilogram, namun kata beliau, ia boleh meningkat apabila keluar dari Lenggong sehingga pernah mencecah RM90 hingga RM140 sekilogram.
Perkembangan itu juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Perak di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi pelan Perak Sejahtera 2030, terutama flagship pertama iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).
Antara penumpuan flagship tersebut adalah hab daging halal antarabangsa, Perak International Agro Fest, hab agropelancongan serta Akademi Sekuriti Makanan.
Mohd. Izwan berkata, ternakan di situ diberi penumpuan tinggi termasuk dari segi khasiat makanan bagi memastikan daging berkualiti dapat dikeluarkan.
“Potensi sangat cerah kerana permintaan domestik sahaja sangat tinggi. Di hotel dan restoran memang ada permintaan,” katanya.
Berhubung permintaan, katanya, daging rusa mempunyai penggemar tersendiri yang menghubungi pihak pengusaha ladang itu untuk sebarang pertanyaan dan pembelian. – UTUSAN