SUA Menteri Kesihatan bersikap tidak profesional, perlekeh pengamal media

SUA Menteri Kesihatan bersikap tidak profesional, perlekeh pengamal media

KELAB MEDIA PUTRAJAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelab Media Putrajaya (KMP) kesal dengan sikap tidak profesional yang ditunjukkan Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Menteri Kesihatan, Nik Azmi Nik Fathil yang jelas tidak mencerminkan jawatan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

Ia susulan aduan diterima daripada beberapa pengamal media yang membuat liputan Majlis Pelancaran Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta ‘Global Adult Tobacco Survey’ (GATS) Malaysia 2023 di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Menurut KMP, tindakan beliau memperlekeh pengamal media yang ingin mendapatkan penjelasan dan maklumat tambahan dari segi statistik berkaitan program tersebut, tidak boleh diterima sama sekali.

“Bagi KMP, permintaan maklumat tambahan itu berasas apatah lagi ia membabitkan hasil penyelidikan yang menuntut angka yang tepat.

“Jika kami pengamal media sentiasa dituntut untuk beretika dan menyampaikan fakta yang betul dalam pelaporan, namun jika ini reaksi yang diterima, ia akan mengganggu tugas kami untuk menampilkan laporan sahih, padat serta berkualiti kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih mendukacitakan, KMP berkata, ketika sidang media selepas program tersebut, apabila pemberita mengajukan soalan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad namun belum sempat dijawab, SUA itu mencelah dan menjawab bagi pihak Menteri.

Katanya, tindakan beliau itu sekali lagi mengejutkan pengamal media yang hadir di lokasi untuk membuat liputan, yang mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam industri kewartawanan kerana ini adalah kali pertama berdepan dengan tingkah laku SUA sebegini.

“Apakah ini prosedur baharu pentadbiran yang mana SUA boleh menjawab bagi pihak Menteri ketika sidang media?

“Hubungan saling memerlukan dan melengkapi di antara pengamal media dan Setiausaha-setiausaha Akhbar kepada Menteri amat penting dalam menyebar luas maklumat terutama dasar, inisiatif serta pencapaian kerajaan yang bermanfaat dan membentuk pemikiran masyarakat, selain menjadi semak dan imbang kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, KMP turut memberi teguran kepada Ketua-ketua Unit Komunikasi Korporat kementerian, pegawai di Unit Komunikasi Korporat kementerian dan pegawai perhubungan awam mana-mana agensi atau jabatan kerajaan mahupun swasta yang mempunyai interaksi langsung bersama pengamal media.

Katanya, ia agar kedua-dua pihak dapat terus menjalinkan kerjasama dengan utuh dalam suasana hormat menghormati, mesra dan beradab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya