Skuasy: Kerjasama SRAM-ACE di laman sendiri menyaksikan Malaysia raih tempat ke Kejohanan Dunia Kaherah

Skuasy: Kerjasama SRAM-ACE di laman sendiri menyaksikan Malaysia raih tempat ke Kejohanan Dunia Kaherah

Gérard Montero (kiri), President SRAM, Ryunosuke Tsukue, (dua dari kiri) Yi Wen Chan (dua dari kanan) dan S. Chandran (kanan) meraikan kemenangan dua pemain tersebut yang masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita dalam kejohanan skuasy minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia meraih tempat dalam Kejohanan Skuasy Dunia 2024 dengan kelebihan bermain di tempat sendiri susulan kerjasama strategik antara Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan penganjur, ACE Sports and Management. 

Pilihan keempat, Yi Wen Chan, 23, berjaya merebut tempat untuk bermain pada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Kaherah, menewaskan rakan sepasukan Sehveetraa Kumar, 18, dengan permainan mengagumkan pada perlawanan akhir kelayakan di Pusat Tenis Jalan Duta di sini, Ahad lalu

Dalam bahagian lelaki, pilihan utama, Ryunosuke Tsukue dari Jepun mengatasi pemain tempatan Addeen Idrakie untuk memastikan tempatnya pada kejohanan di Kaherah.

Perlawanan pada hujung minggu itu menyaksikan keputusan mengejutkan apabila pemain bukan pilihan, Sehveetra meraih tempat dalam perlawanan akhir kelayakan dengan mengatasi pemain pada ranking lebih tinggi sepanjang kejohanan manakala rakan pemain Malaysia yang lain terus mencatat kemenangan dengan sokongan padu daripada penonton tempatan. 

Penganjur ACE Sport and Management, Jadish Kumar memuji kemenangan Yi Wen sebagai bukti komitmen mereka untuk meningkatkan tahap skuasy di rantau ini dan menyediakan peluang kepada pemain muda untuk meraih kecemerlangan secara profesional.

Yi Wen Chan berjaya merebut tempat untuk bermain pada Kejohanan Dunia.

“Kami berbangga dapat menganjurkan kejohanan ini di Malaysia. Itu kali pertama penganjurannya dan mencatat kejayaan besar. Kami melihat ramai yang hadir, penonton juga ramai. Ia sememangnya hari yang hebat untuk skuasy di negara ini,” katanya.

Pertandingan berkenaan yang bermula pada 18 April menyaksikan tiga pemain Malaysia bersaing untuk merebut tempat ke perlawanan akhir dalam Kejohanan Dunia.

“Ia sungguh membanggakan untuk menyaksikan perlawanan akhir hari ini dengan keputusan yang luar biasa daripada kalangan bakat baru menjelang perlawanan kejuaraan tersebut,” kata Jadish. 

Pengarah SRAM Mejar (B), S. Maniam berkata, kejayaan bidaan ACE Sports and Management untuk menganjurkan acara kelayakan hujung minggu bagi zon Asia itu memberi peluang kepada pemain Malaysia beraksi di peringkat lebih tinggi.

“Pertama sekali, ia satu kelebihan bagi pemain kita untuk bermain di laman sendiri dan bukan itu sahaja, penonton serta pemain junior dan pemain lain berpeluang untuk menyaksikan beberapa pemain terbaik rantau ini bersaing untuk merebut satu tempat berkenaan,” ujarnya.

Beliau menambah, kejohanan satelit sepanjang tahun anjuran ACE di seluruh negara juga bakal memberi manfaat kepada kelompok pemain baharu.

“Kami mempunyai sekumpulan pemain muda yang kami percaya akan merapatkan jurang tersebut pada masa akan datang,” kata Maniam. 

Yi Wen, pada ranking ke-79, menyertai gandingan utama Ng Eain Yow dan S. Sivasangari dalam Kejohanan Dunia pada Mei ini. Rachel Arnold (No. 28), Aifa Azman (No. 34), dan Aira Azman (No. 41) pula melengkapkan pasukan Malaysia. 

Perlawanan berkenaan disiarkan secara langsung di Squash TV PSA yang dikendalikan oleh pasukan penyiaran ACE Sports and Management sekali gus menarik ribuan tontonan setiap hari dan kehadiran penonton yang ramai di Pusat Tenis Jalan Duta. 

Penganjur Malaysia yang merekodkan kejayaan menerusi Jelajah Satelit WSF dan PSA, Jelajah Challenger dan kejohanan Dunia menerima sokongan padu daripada pertubuhan skuasy untuk mengendalikan perlawanan kelayakan zon Asia, didorong oleh kejayaan memberangsangkan Piala ACE Malaysia peringkat Gangsa PSA pada tahun sebelumnya.

“Kira-kira 11,000 penonton menyaksikan seluruh kejohanan itu secara dalam talian. Komitmen berterusan kami adalah untuk melabur dalam bidang teknologi penyiaran, dengan matlamat fasa seterusnya untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia di rantau ini dan memenuhi permintaan penonton global yang semakin meningkat secara dalam talian,” tegas Jadish.

Mejar Maniam menekankan bahawa acara kelayakan Asia berkenaan seiring dengan inisiatif Road to Gold (RTG) Malaysia yang meletakkan skuasy sebagai pencabar hebat bagi memperoleh pingat emas Olimpik yang pertama untuk negara di LA 2028.

“Skuasy diletakkan pada laluan pantas program RTG dan mereka sudah menyenarai pendek adik-  beradik Aira dan Aifa, Sangari dan Yow. Matlamat kami adalah untuk menempatkan mereka pada kelompok 10 pemain utama secepat mungkin dan kemudian kedudukan mereka semakin meningkat supaya kita berpeluang merebut pingat dan harapan meraih emas di LA 2028,” katanya. 

Kejohanan Dunia PSA yang dikenali sebagai kejohanan kemucak dalam skuasy, telah berkembang dengan menyediakan satu tempat untuk peserta lelaki dan wanita setiap seorang yang memenangi acara kelayakan di setiap benua – Oceania, Eropah, Pan America, Afrika and Asia – sekali gus memberikan peluang kepada bakat yang baru muncul di rantau ini.

Di samping kejohanan peringkat tinggi, pasukan ACE Sports and Management mempunyai kejohanan satelit yang dijadualkan berterusan sepanjang tahun termasuk acara 6k Challenger di Johor, diikuti dengan kejohanan 12k di Kuala Lumpur, serta satu lagi kejohanan peringkat Gangsa yang kini dalam perancangan bagi menarik kehadiran tokoh terkemuka dalam dunia skuasy ke Asia Tenggara.

Bekerjasama dengan Faragallah Squash and Fitness Academy (FSA) yang berpangkalan di Kaherah, pihak penganjur akan mengendalikan klinik skuasy di seluruh negara pada bulan hadapan yang bertujuan untuk mengetengahkan latihan gaya Mesir kepada peminat di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN