“Saya pujuk hati, yakin Tuhan itu ada …” - Utusan Malaysia

“Saya pujuk hati, yakin Tuhan itu ada …”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI KALA ini yang mungkin terlihat adalah kebencian terhadap pemilik nama Ruhainies ini. Seolah tidak ada sedikit sayang pun yang mampu diberikan jika melihat kepada hujan makian dan cercaan yang diterima.

Namun hakikatnya, di sebalik tirai gelap itu, ada sinar cinta yang menyelak. Sokongan yang hadir bukan untuk menegakkan benang yang basah, tetapi demi memastikan wanita ini terus tegar menjalani hidup.

Dia mahu menutup buku. Episod yang dilalui sepurnama lalu ini harus dilupakan sesegera mungkin. Bukan mahu menyorokkan apa-apa namun dia percaya, di hujung cerita pasti ada pelangi yang menjelma.

“Saya tidak nampak sebab untuk terus bercerita lagi dan lagi. Perkara ini tidak akan membahagiakan saya dari segala sudut. Membuka ruang untuk dimanipulasi, dihentam dan disalahkan.

“Cukuplah sekadar apa yang telah saya ungkap dahulu. Saya tidak akan membiarkan diri terus lemas dalam lautan kontroversi ini lagi. Saya tak mahu bercakap tentang ini dan mahu meneruskan hidup.

“Sinar kerjaya seni saya menanti dan saya perlu fokus. Apa pun yang telah berlaku sepanjang karier, ada baik dan buruk. Saya percaya, ujian itu tanda Allah sayang. Dan saya tahu, ada hikmah di sebalik semua ini,” kongsinya.

Sukar untuk menebak apa yang sedang bermain dalam ruang fikir gadis genit ini. Ditambah dengan asa untuk dia berhati-hati dan tidak lagi tersilap bicara, tatkala soalan demi soalan panas dilontarkan dia hanya mampu tersenyum.

Permohonan maaf sudah dilayangkan secara terbuka. Biarpun digantung sepi, namun setidaknya pelbagai pihak sudah maklum dan seboleh dia mahu mereka tahu, keikhlasan hatinya untuk menutup buku.

Jauh dari ‘kepanasan’ episod yang menggegarkan dunia hiburan, bagaimana keadaan jiwa dan raganya ketika ini? Tidakkah otaknya penat berfikir, hatinya lelah merintih mengharap semua ini segera berlalu.

Apatah lagi, tatkala kiri kanan dirinya sentiasa berdepan kecaman, bagaimana kakinya masih kekal berdiri? Bagaimana ketenangan berjaya mencuri masuk, mencipta senyuman dari bibirnya.

“Tipu kalau saya cakap semua okay-okay sahaja. Tidak mungkin saya tidak terjejas. Saya manusia, ada hati dan perasaan. Hati saya bukan batu. Semangat saya juga tidak setegar karang di lautan.

“Tetapi saya harus pujuk diri sendiri. Perlu yakinkan diri, saya boleh merentas dugaan kali ini. Sisa semangat saya kumpulkan dan digaul sekali dengan sokongan dari mereka yang menyantuni.

“Hakikatnya di sebalik laungan kebencian, ada gema daripada mereka yang memujuk hati untuk saya terus berdiri. Jangan mengalah dan fokus untuk kerjaya seni saya. Ini minat dan cinta saya,” kongsinya.

MANJAKAH RUHAINIES?

Terus mencuri laluan untuk mengorek isi hatinya, saya layangkan pertanyaan, selepas apa yang berlaku, adakah terbit rasa serik untuk terus berlakon dengan suami orang?

Seraya tersenyum, anak kelahiran Pulau Pinang tenang menjawab;

“Saya seorang pelakon dan semestinya, saya harus menjalankan tugas mengikut karakter serta watak yang diberikan. Tetapi saya seorang yang senang berkawan dengan sesiapa sahaja, peramah.

“Jadi bagi saya, perkataan serik itu tidak wujud sebab jika itu yang diamanahkan penerbit dan pengarah, semestinya saya akan laksanakan sebaik mungkin. Saya bukan baharu dalam industri seni,” katanya.

Menyelak helaian sisi tersirat gadis berusia 32 tahun itu, dia sebenarnya seorang yang berjiwa hamba. Tiada ciri kesombongan dan riak walaupun hidupnya disaluti populariti.

Maka siapa sebenarnya pemilik nama Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini? Adakah dia benar seorang yang manja atau mudah mesranya mencipta persepsi berbeza?

“Bukan salah saya jika ada yang tersalah anggap. Saya sama sahaja dengan semua orang. Saya memang peramah dan senang didekati. Saya suka berkawan, tak kira dengan siapa.

“Saya juga mudah tersentuh. Tak boleh tengok orang sakit atau meminta tolong. Sebagai contoh penderitaan akibat penindasan yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin.

“Saya hanya mampu memberi sumbangan dan menyebarkan kesedaran menerusi perkongsian di media sosial,” kongsi pelakon Cukup Derita Itu tersebut.

MENGATUR LANGKAH SENI

Membuka gelanggang bicara tentang kerjaya seni, keterujaan mula merelung di mata. Dia mahu berkongsi berita gembira walaupun mungkin ada yang kurang suka, lantas mencipta prasangka.

Ada hikmah kontroversi yang berlaku tular sehingga ke negara luar. Setidaknya, namanya mula dikenali. Hinggakan dia kini mula diintai oleh produksi luar untuk bekerjasama dalam drama atau filem baharu.

“Ada pihak produksi luar negara sudah menyatakan hasrat untuk bekerjasama tetapi kita perlu berbincang dengan teliti dulu. Setakat ini juga, ada kerja-kerja lain yang saya perlu selesaikan terlebih dahulu.

“Kalau ikut hati memang mahu setuju terus tetapi bercakap soal kerjaya seni ini, banyak perkara perlu diteliti dengan baik. Kena fahami cara kerja, kontrak dan pelbagai aspek sebelum terima.

“Ada beberapa projek juga terpaksa ditangguhkan dahulu, saya faham. Ketika minyak sedang menggelegak, tidak elok jika jari dicelup. Lebih baik kita tangguh dahulu, buat kerja-kerja luar bidang seni,”ujarnya.

Bertanyakan adakah kerjaya seninya tercantas sedikit lantaran kontroversi itu, seraya tersenyum Ruhainies melontar jawapan;

“Rezeki itu di tangan Tuhan. Saya percaya dengan aturan-Nya. Sedekad saya dalam industri seni, saya beri komitmen yang terbaik, dedikasi untuk menjayakan watak. Saya seorang yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya