KANGAR: Pengalaman menjadi guru hampir 30 tahun banyak membantu dan memudahkan Mohd. Shukri Ramli apabila menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar khususnya dalam soal menyantuni rakyat membabitkan semua lapisan masyarakat.
Malah, Hari Guru juga disifatkan cukup istimewa bagi Mohd. Shukri yang mempunyai 1,001 pengalaman serta kenangan manis bergelar pendidik dan lebih menariknya lagi meskipun sudah lebih 10 tahun bersara sebagai guru namun masih ramai memanggilnya cikgu sehingga sekarang.
Secara berseloroh Mohd. Shukri berkata, dahulu beliau sering menganggap kerja sebagai seorang guru ini sukar dan menjadi Menteri Besar lebih mudah namun sebenarnya tugas sebagai Menteri Besar ini adalah lebih sukar.
“Bagi saya tugas sebagai guru ini cukup istimewa di mana kita mendidik dan melihat hasil didikan apabila anak murid kita berjaya.
“Apabila kita jumpa kembali bekas anak murid kita, ia juga memberi motivasi untuk kita lebih kuat menjalani kehidupan. Apabila kita melihat murid kita berjaya, ia satu kepuasan.
“Saya cukup bangga pernah bergelar guru dan pengalaman sebagai guru banyak membantu saya apabila menjadi Menteri Besar ketika ini. Guru kita menyantuni masyarakat dan sebagai Menteri Besar juga ke arah itu. Kita tidak pernah membezakan anak murid sama juga sekarang tidak membezakan seluruh rakyat,” katanya.
Mohd. Shukri memulakan tugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Beraya, Miri, Sarawak (1985-1987), SK Pulo, Kuching (1988-1989), SK Padang Keria (1990-1997), SK Dato Wan Ahmad (1997-2000), SK Felda Mata Ayer (2000), SK Sanglang (2001-2011) dan SK Sungai Baru (2011-2013).
Jawatan terakhir Mohd Shukri ialah Penolong Kanan Kokurikulum di SK Sungai Baru sebelum bersara awal pada usia 52 tahun pada 2013 untuk menjadi calon Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Tidak sempat menjadi Guru Besar semasa berada dalam sektor pendidikan itu, takdir menentukan Mohd. Shukri terus menjadi Menteri Besar selepas Perikatan Nasional (PN) menang dalam PRU15, November tahun lalu.
Beliau yang merupakan bekas guru mata pelajaran Matematik dan Kemahiran Hidup bergelar pendidik sejak 1985 sehingga 2013 iaitu hampir 30 tahun.
Dalam pada itu, sambutan Hari Guru juga cukup istimewa dan sinifikan bagi kebanyakkan wakil rakyat PN di Perlis apabila sembilan daripada 15 Ahli Dewan Undangan (ADUN) termasuk Parlimen di negeri ini adalah merupakan bekas guru.
Malah, selain Menteri Besar, tiga Exco kerajaan negeri ketika ini juga merupakan bekas guru.-UTUSAN