PETALING JAYA: Ratu air mata, Wan Maimunah tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja dan bersyukur apabila bakal menjalani ibadah haji pada 10 Mei depan.
Kongsi pelakon hebat itu, dia tergamam dan meraung kegembiraan selepas menerima panggilan wakil Lembaga Tabung Haji yang diterima sebelum Ramadan.
“Mula-mula saya tak percaya, tetapi selepas diyakinkan dan lengkap pengesahan butiran peribadi, baru saya sedar itu bukan gurauan. Rasa sebak sangat ketika itu.
“Semua ini bukti kuasa tuhan. Dua tahun lalu, saya berdoa sesungguhnya di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah. Allah dengar doa saya dan itu menyebabkan saya tak berhenti menangis.
“Pelbagai rasa ada, sayu, terkejut dan berasa sangat kerdil dijemput secepat ini. Perasaan yang berbaur ketika itu sukar untuk saya terjemahkan sehingga saya meraung. Hanya Allah sebaik-baik perancang,” ujarnya.
Tinggal lima hari lagi, pemilik nama, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 66, tidak ralat dan apatah lagi mengnaggap tempoh masa singkat sebagai kekangan untuk dia mempersiapkan diri menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Tiada apa yang perlu dirunsingkan walaupun banyak barang yang belum dikemas lagi tetapi itu bukan isu besar pun sebab ramai bantu. Anak-anak saya semua ada bantu.
“Paling penting kita pergi dengan tenang untuk beribadah, jadi kena pastikan jaga kesihatan agar mampu menyempurnakan setiap rukun.
“Walaupun saya pergi bersendirian, namun tidak perlurrisau keadaan saya. Allah ada. Allah jaga saya, jemaah lain pun ramai,” kongsinya.-UTUSAN