Perak sumbang RM5,000 untuk keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi - Utusan Malaysia

Perak sumbang RM5,000 untuk keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi

SAARANI Mohamad merasmikan Karnival Agro Pelancongan Perak di Lenggong hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Kerajaan Perak akan memberi sumbangan sebanyak RM5,000 kepada keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam.

Kerajaan negeri akan memberikan sumbangan bernilai sama kepada setiap waris tiga mangsa anak jati Perak yang terkorban dalam tragedi dua buah helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada April lalu.

Ketika mengumumkan perkara tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sumbangan itu adalah daripada peruntukan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri akan menyumbang wang tunai RM5,000. Peruntukan kerajaan negeri. Bukan sahaja untuk mangsa polis, tetapi juga kita akan bagi kepada mangsa helikopter. RM5,000 bagi setiap keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir bagi merasmikan program Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) di sini hari ini.

Dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi semalam, Ahmad Azza Fahmi bersama seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang serta merampas dua laras senapang.

Tiga anggota TLDM yang berasal dari Perak ialah Pegawai Waran II Allahyarham Noorfarahimi Mohd Saedy, mendiang Leftenan T. Sivasutan dan Pegawai Waran II Allahyarham Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi.

Sementara itu dalam program yang dihadiri beliau, Saarani berkata, PAC 2024 merupakan antara usaha kerajaan bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri ini agar memberi manfaat ekonomi kepada rakyat Perak.

Program itu merupakan anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bersempena Tahun Melawat Perak 2024, berpusat di Resort Tasik Raban, yang terletak berdekatan dengan pelbagai tempat menarik di Lenggong.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya berkata, penganjuran itu boleh mencipta limpahan ekonomi mencecah RM6 juta daripada wang dibelanjakan oleh pengunjung ke program tersebut yang berlangsung selama tiga hari dari 17 hingga 19 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya