Pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian bakal menjadi kenyataan - Utusan Malaysia

Pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian bakal menjadi kenyataan

SAIFUDDIN Nasution Ismail mendengar penerangan sewaktu kunjungan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Harapan untuk melihat pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian di sini bagi merancakkan semula ekonomi dan pelancongan di situ mungkin bakal menjadi kenyataan.

Hal demikian kerana kerajaan sudah mempunyai perancangan ke arah pelaksanaan pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian tersebut yang ditutup sejak 2015 itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi tujuan itu, kerajaan Persekutuan telah menyatakan komitmen menerusi kelulusan peruntukan sebanyak RM30 juta sebelum ini untuk pelaksanaan beberapa komponen penting dalam pembukaan semula zon aliran bebas.

Beliau berkata, antara perancangan adalah membabitkan pembangunan semula di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian.

“Komponen bagi pembangunan semula Kompleks ICQS Wang Kelian ini bakal menempatkan semua agensi-agensi keselamatan utama di negara ini yang akan bergabung di bawah Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA).

“Komponen lain termasuklah laluan yang direncanakan iaitu empat lorong membabitkan inbound dan empat lorong outbound berbanding sekarang hanya satu lorong sahaja,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kompleks ICQS Wang Kelian di sini hari ini.

Terdahulu, Saifuddin dalam lawatan ke Perlis berkesempatan mengadakan kunjungan ke pejabat Menteri Besar seterusnya mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, aspek keluar masuk orang ramai juga akan diperketatkan selepas ini bagi memastikan elemen keselamatan dapat ditingkatkan tanpa sebarang kompromi.

“Dulu orang ramai yang menggunakan laluan zon aliran bebas ini hanya perlu menunjukkan kad pengenalan tanpa dokumentasi ketat dan itu yang kita akan perketatkan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, berdasarkan data diterima, kehadiran masuk warga Thailand ke negara ini sewaktu operasi zon aliran bebas sebelum ini juga sememangnya melebihi daripada kehadiran rakyat Malaysia ke negara jiran.

Katanya, beliau juga telah menyembah maklum mengenai cadangan itu kepada Raja Perlis dan baginda juga menyambut baik perkara tersebut serta menitahkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri dapat membuat penyelarasan serta memudah cara bagi pelaksanaan berkenaan.

“Yang kita utamakan bila Kompleks ICQS Wang Kelian ini siap adalah untuk tingkatkan sistem penyampaian di samping memudahkan aspek ekonomi dan perdagangan.

“Pada masa sama, komponen yang bakal dibangunkan ini juga akan turut melibatkan kawasan Arked Niaga Wang Kelian dengan pembangunan semula kawasan gerai di sana,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan oleh kerajaan Persekutuan itu yang dilihat mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi Perlis.

Katanya, pelaksanaan tersebut sememangnya amat diidamkan sejak sekian lama oleh penduduk negeri ini khususnya di kawasan berkenaan.

“Seperti mana perancangan dengan menteri, kita akan pastikan ada kelainan pada gerai-gerai untuk dikunjungi oleh pelancong dari Thailand selepas ini,” katanya.

Zon Aliran Bebas di Wang Kelian mula ditutup pada 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat ancaman dan mengekang penyeludupan barangan terlarang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya