KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sarah Suhairi kesal apabila wajahnya diguna pakai oleh seorang individu tidak dikenali dipercayai scammer bagi tujuan memperdaya khususnya golongan lelaki muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sarah berkata, individu tersebut menyamar menggunakan wajahnya selain berani mengaku adalah seorang sugar mummy selain memperdaya mangsa dengan meminta wang.
“Saya baru dapat tahu mengenai perkara ini semalam apabila pihak pengurusan, Rusa Music memaklumkan ada seorang individu membuat aduan bahawa dirinya ditipu oleh seorang wanita yang menyamar sebagai saya.
“Tak pasti sama ada menerusi aplikasi cari jodoh atau Telegram, tetapi individu itu mengguna pakai gambar-gambar saya dan mendakwa sebagai sugar mummy untuk memancing mangsanya.
“Mangsa mengadu pada pihak pengurusan saya kerana mengaku telah ditipu dan kerugian sejumlah wang yang banyak. Mangsa mendakwa individu tersebut mengguna pakai wajah saya tetapi namanya adalah Asim Binit,” katanya.
Menurut Sarah, dia tidak tahu sejak bila kejadian itu berlaku namun mengakui bimbang sekiranya berlarutan dan lebih ramai menjadi mangsa.
“Mustahillah saya ini seorang sugar mummy bukan? Memang tak logik. Saya pun tak pernah tipu atau buat kerja-kerja begitu. Apa yang saya bimbangkan, jika ramai lagi mangsa terpedaya dan mengalami kerugian sedangkan itu bukan saya.
“Malah, saya juga risau perkara ini sekiranya dibiarkan akan menjejaskan reputasi dan imej saya. Ini pertama kali berlaku dalam hidup sepanjang saya menggalas kerjaya anak seni,” katanya.
Sementara itu, kata penyanyi lagu Sah ini, dia tidak teragak-agak membuat laporan polis sekiranya masih berlarutan selain menggesa mana-mana pihak yang menjadi mangsa individu terbabit tampil membuat tindakan sama.
“Demi menjaga reputasi, saya akan buat laporan polis mengenai perkara ini. Tetapi pada masa sama, saya harap mereka yang jadi mangsa individu tersebut juga kena tampil buat laporan polis.
“Saya juga berharap, orang ramai berhati-hati dan ambil maklum mengenai perkara ini. Jika ternampak ada orang yang menggunakan wajah saya, itu bukan saya,” katanya. – UTUSAN