Saya sengaja memilih topik ini untuk paparan minggu ini dan bukan artikel pandu atau tunggang uji. Ini adalah kerana fakta ini telah saya amati daripada acara besar automotif yang telah berlangsung di MAEPS dari 21 hingga 26 Mei lalu. Justeru, saya mempersembahkan dahulu empat jenama untuk bahagian pertama ini.
Motosikal-motosikal dari China seolah-olah seiringan dengan pembuat dan pembekal kereta-kereta, sama ada kereta yang menggunakan bahan bakar tradisional atau jenis 100 peratus elektrik. Motosikal dari China sebenarnya telah lama berkolaborasi dengan jenama-jenama besar dari Jerman, Itali, malah ada percubaan dengan jenama besar dari Amerika Syarikat.
Mari kita lihat jenama-jenama China yang sudah memulakan pasaran mereka di Malaysia, dan mempamerkan model-model terbaharu mereka di Pameran Automotif Malaysia 2024.
AVETA RANGER CUB CROSS 115
Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. mengambil peluang memperkenalkan kesinambungan model motosikal mereka yang menjadi viral dan menarik perhatian ramai iaitu Aveta Ranger Max Explorer 127cc pada penghujung tahun lepas. Kini mereka memperkenalkan pula Aveta Ranger Cub Cross 115 yang didatangkan dengan varian Hunter Green (dijual pada harga RM4,988) dan edisi khas Desert Storm (RM5,188).
Kedua-dua varian ini dipacu oleh enjin empat lejang, berkapasiti 113cc dengan sistem sejukan udara dan menghasilkan kuasa enjin 6.5 kilowatt (kW) dengan tenaga kilasan 9.0Nm. Walaupun begitu, seperti model Ranger Max Explorer, kedua-dua model terbaharu ini juga tidak menggunakan sistem klac tangan.
Perkenalan motosikal kapcai dwi-guna nampaknya mampu untuk menepati kehendak pasaran tempatan yang menginginkan motosikal jenis ini tanpa bebanan harga yang terlalu mahal atau penggunaan lesen motosikal B penuh.
CFMOTO varian 450cc
CFMOTO mengambil pendekatan untuk memasarkan jentera 450cc mereka, tiga varian sekali gus bagi memenuhi cita rasa dan kehendak pasaran tempatan.
Memasarkan model ‘naked’ iaitu 450NK, jentera yang disasarkan untuk kegunaan harian dan tanpa balutan ‘fairing’ untuk memudahkan penyelenggaraan dan mengurangkan kos (pembelian dan juga kos barang ganti). Dipasarkan pada harga RM25,888, iaitu harga yang selalunya dikaitkan dengan motosikal berkuasa 250cc, menyebabkan ramai yang bakal mendapatkan lesen B penuh untuk memiliki jentera ‘ganas’ ini.
450MT pula adalah sebuah motosikal yang dipasarkan sebagai motosikal dwi-guna. Motosikal ini sangat mengujakan kerana mampu ditunggang sama ada di atas jalan raya atau di laluan-laluan off-road. Saya telah mengujinya di Filipina dan memaparkan hasil tunggang uji saya itu dalam artikel yang telah pun disiarkan sebelum ini. Varian dwi-guna ini bagaimanapun didatangkan dengan dua versi iaitu versi biasa (RM28,888) dan versi yang mempunyai tiga kotak pengangkut barangan (M30,888).
CLC450 pula merupakan percubaan CFMOTO menakluki pasaran motosikal ‘cruiser’, dan dengan harga pengenalan ini, iaitu sebanyak RM25,888, ia dijangka bakal menjadi permintaan ramai.
Ketiga-tiga ini ternyata menjadi taruhan CFMOTO untuk pasaran Malaysia dan jenama ini sedang menempa nama dalam pertandingan perlumbaan Grand Prix Motosikal Dunia iaitu dalam kategori Moto2.
CYCLONE
Jenama ini sebenarnya daripada sebuah pembuat motosikal terbesar di China iaitu Zong Shen. Jenama Zong Shen ini telah mula diperkenalkan pada pasaran dunia sejak lewat 90an dul. Berikut adalah model-model Cyclone yang bakal dipasarkan di Malaysia.
MK125 CLASSIC
Rupa bentuk fizikalnya saling tidak tumpah seperti motosikal dwi-guna kapcai dari Aveta. Ini menunjukkan bahawa terdapat perkongsian teknologi antara pengeluar motosikal dari China ini. Bagi mereka yang benar-benar pencinta motosikal atau peminat motosikal tegar, mungkin sudah mengetahui rekaan ‘kapcai adventure’ ini sebenarnya telah diperkenalkan oleh Honda melalui model CT125. Namun bagi peminat dua roda tanah air, mungkin model seumpama ini mula diketahui sejak penjualan model Ranger X dari Aveta.
Dijual pada harga RM5,988 seunit, dan moped atau kapcai seumpama ini dirasakan bakal menjadi trend terbaru tanah air.
RT2E
Skuter yang begitu unik penampilannya. Pada rekaan kosmetiknya, ia menampakkan imej skuter klasik 60an, iaitu Lambretta, tetapi turut mempunyai jelmaan kereta-kereta zaman yang sama seperti mini clubman, Cadillac ataupun Fiat 500, terutamanya daripada sudut belakang.
Warna yang ditawarkan untuk skuter ini juga agak menarik iaitu biru muda dan hijau muda. Rt2e ini dipasarkan dengan harga pengenalan iaitu RM13,888 seunit.
RX600
Antara varian yang mengejutkan yang telah dipertontonkan pada rakyat Malaysia. RX600 adalah jentera dwi-guna berkapasiti besar iaitu 550cc yang menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 43.5kW dan tork maksimum 55Nm.
Selain daripada harganya yang agak memeranjatkan iaitu RM29,888 untuk jentera sebesar ini, ia turut mempunyai keupayaan sistem brek ABS dua saluran, sistem cengkaman roda yang boleh dihidup atau dimatikan atas pilihan penunggangnya. Penyerap hentakan hadapan jenis terbalik, penyerap hentakan tunggal belakang yang boleh dilaras 15 tahap kekenyalannya.
VOGE
Jika ingin mengetahui bagaimanakah sebutan sebenarnya untuk jenama ini, ia disebut sebagai “VOJ”. Nama yang sangat asing untuk peminat dua roda tanah air, tetapi jenama ini sebenarnya mempunyai sejarah yang sangat lama dengan BMW sejak 17 tahun lalu.
Bermula dengan pembuat bahagian-bahagian enjin, sehingga kepada pembuatan seketul enjin dan akhirnya terus membina sendiri motosikal secara keseluruhan. Setelah mengetahui bahawa BMW sememangnya ‘menggunakan’ khidmat pembuat motosikal luar daripada BMW seperti varian skuternya daripada KYMCO. Begitu juga model GS310 juga diketahui umum dibuat dengan kerjasama pembuat motosikal daripada India iaitu TVS.
Maka, apabila mengetahui BMW F900 dibuat dengan kerjasama VOGE ini, ternyata membuatkan saya ‘memandang’ model BMW tersebut dengan pandangan yang berbeza selepas ini.
FORMICA ROSSA 150
VOGE memperkenalkan super moped atau kapcai yang berkapsiti 150cc yang ingin dikenali dengan nama Formica Rossa 150 atau pun singkatannya FR150. Bermula dengan harga RM8,888 seunit, FR150 boleh didapati di seluruh Malaysia dengan tiga pilihan warna iaitu kuning, merah dan biru.
Dari segi kuasa, FR150 menggunakan enjin DOHC yang menghasilkan kuasa 11.5kW pada kadar 8,500rpm dan kuasa tork 13.4Nm pada kadar 7,500rpm. Penggunaan enjin bersilinder tunggal dengan empat injap dan kotak gear klac manual enam kelajuan.
Seiring dengan permintaan dan teknologi motosikal super kapcai terkini FR150 ini menggunakan sistem tanpa kunci dan juga penggunaan ‘slipper clutch’ bagi membolehkan penggunaan gear dengan lebih lancar mengikut kelajuan.
CU525
Agak sukar untuk mengklasifikasikan model ini kerana ia seperti berada di tahap pertengahan antara motosikal cruiser atau street. Mungkin ini adalah sejenis Cruiser Sport yang meletakkan penggunaannya dalam kategori tersebut.
Berkapasiti 494cc dan berkembar selari, rupa dan spesifikasinya mirip Kawasaki Eliminator yang agak terkenal tidak berapa lama dahulu. Harga jualannya adalah RM29,888 seunit. – UTUSAN