Modal AIM bantu perniagaan pembuat perabot KERJAKAYUpallet

Modal AIM bantu perniagaan pembuat perabot KERJAKAYUpallet

Norafiqah Aini Mohamed Zohomi bersama dengan produk perabot yang dihasilkannya di Teluk Intan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Bermula hanya sebagai hobi di tepi rumah tujuh tahun lalu, bekas pengusaha spa ini tidak menyangka aktiviti pertukangan perabot secara ‘suka-suka’ bersama suami bertukar menjadi kerjaya baharu dengan pendapatan menguntungkan.

Norafiqah Aini Mohamed Zohomi, 33, kini menawarkan perkhidmatan pembuatan pelbagai jenis perabot berasaskan kayu yang beroperasi di Taman Industri Ringan dekat Langkap, di sini.

Norafiqah Aini selaku Pengurus KERJAKAYUpallet berkata, semuanya bermula apabila jiran dan kenalan tertarik kepada hasil tangannya sehingga mahu menempah set meja kayu dan rak gantung.

“Awalnya saya menolak kerana tidak yakin mampu memenuhi kehendak mereka, tambahan lagi saya tiada latar belakang pertukangan, hanya berbekalkan minat dan cuba mereka cipta sendiri. Isteri dan keluarga pula memberi galakan untuk saya mengambil tempahan dan berniaga.

“Kami gunakan kayu pine, ‘rubber wood’ dan ‘Oriented Strand Board’ (OSB) mengikut kesesuaian untuk menghasilkan lebih 100 model perabot seperti rak almari, meja kerusi makan, kaunter, buaian dan banyak lagi.

“Alhamdulillah, hasil perniagaan semakin baik membolehkan kami menaiktaraf mesin pemotong dan mesin ukiran kayu selain kelengkapan lain untuk memudahkan kerja-kerja pertukangan di bengkel serta menggaji tiga anak muda tempatan,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, keputusan untuk bertukar kerjaya nyata berbaloi memandangkan pendapatan yang diperoleh melalui perniagaan lebih stabil dan konsisten berbanding sebelum ini, selain mempunyai lebih masa bersama keluarga.

“Kami turut mempelbagaikan produk mereka dengan pengkhidmatan dekorasi ruang dinding, cenderamata, ukiran kayu dan sewaan tirai latar untuk bergambar (photoshoot backdrop) bagi memaksimumkan pendapatan syarikat,” katanya.

Berkongsi cabaran dalam perniagaan, Amar Tasykin Mohd. Basari, 36, selaku pengarah berkata, bahan utama iaitu kayu pine perlu diimport dari Sweden menyebabkan kadangkala ia sukar diperoleh selain memakan masa untuk tiba ke Pelabuhan Klang.

“Kos untuk membawa masuk kayu pine ke sini juga tidak murah, mujurlah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) membantu menyalurkan maklumat dan membantu mendapatkan pembiayaan berbentuk pembiayaan daripada agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN