Michelle Yeoh terima Pingat Kebebasan Presiden AS

Michelle Yeoh terima Pingat Kebebasan Presiden AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh menerima penghormatan tertinggi Amerika Syarikat iaitu Pingat Kebebasan Presiden dalam majlis rasmi di White House, semalam. 

Pingat itu disampaikan sendiri oleh Presiden AS, Joe Biden, lapor Reuters. 

Pingat itu dianugerahkan kepada aktres berusia 61 tahun itu berhubung pencapaian menjadi wanita pertama Asia merangkul Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar menerusi filem Everything Eveerywhere All at Once, tahun lalu.

Semasa majlis penyampaian pingat itu, Biden memuji kejayaan Yeoh kerana berjaya memecahkan stereotaip sekaligus menonjolkan Amerika yang kaya dengan budaya. 

“Peranan dan watak Yeoh mengatasi jantina, budaya dan bahasa. Daripada seni mempertahankan diri kepada filem komedi romantik dan fiksyen sains, semuanya menunjukkan persamaan yang kita kongsi bersama.

“Sebagai orang Asia pertama memenangi Oscar, Yeoh menghubungkan budaya yang bukan sahaja untuk menghiburkan tetapi menyuntik inspirasi dan menyedarkan ramai sehingga hari ini. Tahniah,” katanya. 

Yeoh yang berasal dari Ipoh, Perak menerima pingat bersama 18 individu lain, yang berjaya meraih anugerah tertinggi dalam kalangan orang awam di AS. 

Antara penerima lain adalah atlet renang AS, Katie Ledecky, Ketua Hak Asasi Sivil, Medgar Evers dan hos televisyen, Phil Donahue. 

Pingat Kebebasan Presiden dianugerahkan kepada orang awam dan anggota tentera serta tidak terhad kepada warga AS sahaja. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya