KOTA BHARU: Masyarakat majmuk negara ini perlu diberikan pendedahan jelas mengenai Islam yang sebenar agar agama itu tidak terus dilabel dengan pelbagai perkara negatif.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (KONSIS 2024) anjuran Kerajaan Kelantan dapat membawa mesej jelas dalam usaha menegakkan Islam demi menyelamatkan ummah dan negara.
Menurut beliau, kehadiran pegawai jabatan agama Islam, exco-exco agama dan badan bukan kerajaan (NGO) dari setiap negeri dapat membantu menyampaikan mesej berkaitan Islam kepada rakyat termasuk dalam kalangan orang bukan Islam.
“Islam telah dihentam bertubi-tubi dan diberikan bermacam-macam label sehinggakan jika berlaku sedikit pergaduhan akan dikaitkan dengan Islam. Malah serangan balai polis di Johor dan lain-lain tempat turut dikaitkan dengan Islam. Akhirnya terbukti Islam tidak salah.
“Tidak tahulah sama ada bukan Islam atau orang Islam yang bebal serta tidak tahu mengenai Islam yang menyebar fitnah sebegini,” katanya pada sidang media KONSIS 2024 di Kompleks Balai Islam, Lundang, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas sendiri sudah berjaya memecah tembok antara Muslim dan bukan Islam dengan kerjasama daripada pihak-pihak yang mengamalkan budaya politik tidak ekstrem.
Katanya, masyarakat bukan Islam yang menyertai Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti politik yang bekerjasama dengan Pas banyak memainkan peranan dalam memecahkan tembok berkenaan.
“Ini adalah satu perkembangan baharu dalam suasana politik negara yang turut membawa kecerahan dalam hubungan harmoni antara kaum yang sering kita perjuangkan,” ujarnya. – UTUSAN