Malaysia unjur hasil cukai meningkat RM4.5 bilion - Utusan Malaysia

Malaysia unjur hasil cukai meningkat RM4.5 bilion

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengunjurkan peningkatan hasil cukai sebanyak RM4.5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sudah mula memperluas asas hasil melalui reformasi percukaian yang dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, cukai yang diperkenal tidak akan membebankan dan bersifat progresif iaitu mengikut pendapatan supaya rakyat yang susah tidak dikenakan nilai cukai sama dengan golongan kaya.

“Cukai Barang Bernilai Rendah, Cukai Keuntungan Modal Bagi Saham Tidak Tersenarai dan penambahbaikan kepada Cukai Perkhidmatan telah diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) adalah bukti komitmen kerajaan terhadap reformasi fiskal.

“Sasaran FRA adalah untuk menurunkan paras hutang untuk tidak melebihi 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan defisit fiskal tiga peratus dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan berani dalam soal subsidi iaitu melalui menyasarkan semula subsidi.

Jelasnya, tindakan tersebut dapat memberi penjimatan kepada wang rakyat yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain.

“Umpamanya, kerajaan telah menjana penjimatan RM4 bilion hasil penyasaran subsidi mengikut penggunaan elektrik. Tahun ini, subsidi elektrik ditambah baik dengan 85 peratus rakyat tidak terjejas dan kekal menikmati subsidi sementara baki 15 peratus yang menggunakan elektrik melebihi 600 kilowat-jam tidak lagi layak menerima subsidi.

“Harga ayam telah diapungkan dan tidak lagi disubsidi. Kerajaan dapat jimat RM100 juta sebulan. Kesannya apa? Iaitu bukan sahaja bekalan ayam stabil, tetapi harga ayam jauh lebih rendah ketimbang sebelum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang menambah baik ekosistem perniagaan melalui bidang ‘high growth high value, (HGHV) atau berpertumbuhan dan bernilai tinggi.

Katanya, keutamaan diberi dalam meraih lebih banyak pelaburan masuk ke dalam ekonomi negara.

“Ekosistem perniagaan sedang diperluas dan ditambah baik antaranya bagi kluster elektrikal dan elektronik (E&E) di wilayah utara dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura di Johor.

“Selain itu, Sidang Kemuncak KL20 pada bulan lalu dijadikan medan strategik menarik pelaburan berkualiti. Pelan Tindakan KL20 dijangka menjana penilaian tambahan syarikat pemula niaga mencecah RM400 bilion menjelang 2030.

“Dasar peralihan tenaga akan berusaha merancakkan pembukaan industri tenaga boleh baharu, lebih-lebih lagi sebagai persediaan Malaysia ke arah penggunaan tenaga bersih. Tumpuan kini adalah untuk membangunkan ekosistem perundangan bagi memudah cara pelaksanaan dasar tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, tahun lalu, Malaysia merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah dengan pelaburan langsung yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion atau 23 peratus lebih tinggi ketimbang tahun 2022.

“Bagi tahun 2024, setakat Mac sahaja, kita berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion. Ini termasuk dari Australia (RM24.5 bilion) serta Jerman dan Perancis (RM46 bilion). Insya-Allah, rekod tahun ini akan dilonjakkan lagi,” katanya.

Jelasnya, kerajaan sedaya upaya memastikan segala pelaburan direalisasikan pada masa ditetapkan.

“Umpamanya, kemajuan bagi pelaburan diluluskan sebelum ini berada pada landasan yang betul. Sebanyak 75.5 peratus projek perkilangan yang diluluskan dari 2021 hingga 2023 telah siap atau sedang dalam pelaksanaan.

“Seterusnya, nilai kerja pembinaan peringkat awal juga adalah tinggi iaitu RM31.5 bilion (2023) ketimbang RM26.3 bilion (2022) dan hasil pelaburan ini melambangkan keyakinan baharu pelabur kepada pengemudian ekonomi negara saat ini berpandukan Ekonomi Madani,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya