Loudness beri kebebasan pilih lagu kepada peminat Malaysia - Utusan Malaysia

Loudness beri kebebasan pilih lagu kepada peminat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi satu-satunya negara yang memiliki keistimewaan untuk menentukan senarai lagu yang akan dimainkan band rock antarabangsa, Loudness, pada konsert September ini.

Menurut penganjur, Rockstage Entertainment, permintaan itu dibuat oleh pemuzik asal Jepun berkenaan sebagai menghargai kesetiaan peminat Malaysia yang telah mengundang mereka untuk kali keempat.

“Sebenarnya konsert ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah dunia. Sepatutnya, mereka sudah mempunyai senarai lagu khas yang akan dimainkan.

“Namun, saya terkejut juga apabila mereka beri pengecualian khas kepada Malaysia untuk menentukan 20 buah lagu semasa konsert nanti. Mungkin mereka jatuh cinta dengan Malaysia.

“Sejak dua bulan lalu, kami sudah buka undian menerusi Facebook Page dan peminat sudah buat permintaan lagu di sana,” kata pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman ketika ditemui Utusan Malaysia.

Talib berkata, walaupun Loudness yang dianggotai Akira Takasaki (gitar), Minoru Niihara (penyanyi), Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram) sudah mencecah usia 60-an, namun persembahan mereka masih berbisa.

“Dalam usia begitu, mereka memang menjaga stamina termasuklah dari cara pemakanan dan senaman. Jika tidak, mereka mungkin tidak akan larat lakukan konsert jelajah.

“Cuma kita tidak boleh nak bandingkan persembahan hari ini dengan persembahan semasa mereka muda yang lincah melompat. Walaupun ada limitasi dari segi pergerakan, aura mereka masih mencengkam,” katanya.

Konsert Loudness World Tour 2024 – Greatest Ever Heavy Metal ini bakal berlangsung pada 14 September di Zepp Kuala Lumpur.

Peminat yang ingin merasai pengalaman eksklusif bersama Loudness boleh memilih untuk mengambil bahagian dalam sesi Temu Mesra.

Hanya 60 orang beruntung akan dapat berinteraksi dengan band ini selama 10 minit, mendapatkan tandatangan, dan bergambar bersama.

Tiket dijual bermula pada harga RM260 sehingga RM550 di www.myticketempire.com

Untuk info, Loudness merupakan band legenda rock Jepun yang mula menempa nama menerusi Konsert Jelajah Amerika Utara dan Eropah pada 1983. Mereka menjadi kumpulan rock Jepun pertama di bawah label antarabangsa, Atlantic Records.

Kehebatan mereka tidak perlu dipertikaikan apabila sering berjaya menembusi carta Billboard Amerika Syarikat (AS).

Pada 2011, Loudness pernah berduet dengan Amy Search dalam konsert mereka di KL Live.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya