JOHOR BAHRU: Lima ahli Geng Bala termasuk empat warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdagangkan enam wanita sejak Disember tahun lalu.
Tertuduh, S. Bala Muraly, 46, bersama dua lelaki warga India, Thiruneelakandan Kasinathan, 39, dan Sahayaraj Raju, 41, serta dua wanita India, Nithyarettamary Yesurajan, 39, dan Karpagavali Jeyakumar, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Fatimah Zahari.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memperdagangkan enam wanita India berusia antara 23 hingga 38 tahun bagi tujuan eksploitasi seks dengan cara ancaman atau penggunaan kekerasan at paksaan.
Perbuatan itu dilakukan di kondominium D’ Secret Garden, Jalan Kempas Indah dan di Tune Hotel, Danga Bay, di sini antara 24 Disember lalu hingga 24 April lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary, manakala Bala Muraly dan Sahayaraj Raju diwakili peguam bela, Mohd. Fazaly Mohd. Ghazaly.
Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM50,000 terhadap Bala Muraly untuk setiap pertuduhan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkannya diikat jamin dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh warga asing.
Mohd. Fazaly memohon jumlah jaminan yang minimum dikenakan terhadap anak guamnya yang merupakan pengurus kilang pembuatan plastik yang menjadi punca pendapatan tunggal keluarga dan mempunyai tiga cahaya mata berusia antara tujuh hingga 13 tahun.
Hakim Ahmad Kamal Arifin dan Hakim Fatimah membenarkan Bala Muraly diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Hakim Fatimah dalam kamar kehakimannya turut membenarkan Sahayaraj Raju diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu.
Mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam bagi tertuduh warga India berkenaan.
Terdahulu, Nithyarettamary dan Karpagavali mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan tinggal di negara ini setelah tamat tempoh pas dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan. – UTUSAN