KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menanggung beban tunggakan cukai taksiran mencecah RM26 juta berikutan sikap sesetengah pihak yang culas membayar cukai.
Justeru, Yang Dipertua MPK yang baharu, Affendi Rajini Kanth menegaskan, antara keutamaan pihaknya dalam mengetuai majlis perbandaran tersebut adalah meningkatkan hasil kepada negeri dengan memastikan kutipan meningkat berbanding sebelum ini.
Katanya, anggaran kutipan lazimnya sekitar RM30 juta dengan pihaknya menyasarkan peningkatan 10 peratus tahun ini.
“Kita akan pastikan kutipan pada tahun ini meningkat berbanding tahun-tahun lepas, sebelum ini, anggaran RM30 juta dan kita sasarkan peningkatan lebih 10 peratus. Kita juga sudah temui formula nak capai 10 peratus itu.
“Ketika ini, anggaran tunggakan cukai adalah sekitar RM26 juta. Sudah pastinya matlamat kita menjadi penyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau yang menggantikan Yang Dipertua MPK terdahulu, Norazlan Yahaya yang telah tamat tempoh kontrak itu mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Sementara itu, Affendi berkata, beliau telah menggariskan 31 perkara untuk dilaksanakan.
“Itu merupakan tangggungjawab besar. Kita menuju negeri maju dan kita juga mahu MPK sebagai entiti perniagaan yang mana kita perlu mencari keuntungan dan pendapatan kepada negeri.
“Ia penting supaya negeri berada dalam keadaan stabil daripada segi kewangan. Bagi saya nombor satu ialah negeri menjadi keutamaan, kedua MPK dan bukan mengutamakan diri sendiri,” katanya.-UTUSAN