KESUMA iktiraf pekerja, korporat cemerlang sempena Hari Pekerja 2024

KESUMA iktiraf pekerja, korporat cemerlang sempena Hari Pekerja 2024

Anwar Ibrahim bersama sebahagian penerima anugerah tokoh pekerja sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Putrajaya, kelmarin. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dedikasi cemerlang dan komitmen tidak berbelah bahagi kepada tugas mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti diri setiap pekerja sekali gus membantu kejayaan syarikat.

Namun, kesediaan setiap pekerja ‘mendambakan’ seluruh masa dan tenaga kepada kerjaya tidak akan bermakna tanpa majikan yang menitikberatkan setiap keringat dalam menjaga kebajikan dan menyediakan persekitaran kerja kondusif.

Untuk itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menghargai dan mengiktiraf 11 pekerja dan syarikat korporat paling berdedikasi dan cemerlang dalam pelbagai kategori bersempena sambutan Hari Pekerja 2024.

Lebih mengujakan, anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Putrajaya kelmarin.

Biarpun keupayaan diri terbatas akibat penyakit jarang jumpa, distrofi otot atau muscular dystrophy (MD) sejak 20 tahun lalu, ia tidak menghalang Prof. Dr. Zaidi Embong sebagai profesor fizik gunaan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) yang dinobatkan penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU).

Zaidi ketika ditemui berkata, ini anugerah terbesar diterimanya selepas hampir 25 tahun bertugas sebagai pensyarah UTHM.

“Saya pandu sendiri ke UTHM dari rumah di Ayer Hitam ke UTHM Pagoh kira-kira 140 kilometer (km) sehari dan ini pengorbanan untuk universiti serta pelajar saya.

“UTHM banyak memberi sokongan dengan melantik saya sebagai ahli senat sekali gus bersama-sama membangunkan universiti,” katanya.
Sementara itu, penerima Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Awam diberikan kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon berkata, ini anugerah pertama diperoleh NUTP sejak ditubuhkan pada 1974 dan ia amat bermakna memandangkan NUTP bakal menyambut ulang tahun ke-50 pada 7 Julai depan.

“Kami sentiasa berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia demi memastikan kebajikan guru terbela,” katanya.

Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Swasta pula dimenangi Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengurusan Air Paip Pahang Berhad yang mempunyai keahlian seramai 1,148 orang berperanan sebagai agen rundingan antara pekerja dengan majikan melalui perjanjian kolektif (CA).

Kata Setiausahanya, Muhammad Rohairi Ahmad, kesatuan sentiasa memastikan kebajikan ahli terbela terutama dalam memperjuangkan kenaikan pangkat yang tidak berlaku sejak 11 tahun selain semakan semula gaji dan elaun hasil hubungan harmoni dengan majikan.

Dalam pada itu, Anugerah Kesatuan Sekerja Badan Berkanun dimenangi Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM) yang menaungi seramai 3,565 ahli sentiasa komited memperjuangkan hak ahli dan membantu mengemukakan permasalahan kepada pengurusan tertinggi.

“Kami juga telah menginsurankan semua ahli kesatuan bermula september 2023,” katanya.

Pada masa sama, Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) diberikan kepada Mohd. Yazid Zakaria, seorang Ahli Muzik di Istana Budaya yang aktif dalam gubahan lagu, pengarahan muzik dan konduktor orkestra sehingga peringkat antarabangsa.

Beliau memenangi lima anugerah muzik di Vietnam Music Festival, konduktor bagi rakaman Lagu Kebangsaan Turki dan terlibat aktif dalam Korean Traditional Orchestra selain penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia.

“Anugerah ini mengiktiraf usaha kami dalam memartabatkan seni dan budaya berbilang kaum di Malaysia sekali gus mendorong saya terus berkarya dalam mempromosi seni dan budaya kita hingga ke luar negara,” katanya.

Tidak ketinggalan, Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana) dianugerahkan kepada Safiq Mohamad, seorang Pegawai Bomba yang memiliki kemahiran tinggi dalam penyelamatan khususnya pengendalian haiwan berbisa.

Beliau aktif berkongsi pengetahuan itu melalui saluran media sosial di bawah channel Squad King Cobra selain sering terlibat dalam kes serangan haiwan berbisa dan terlibat sebagai sukarelawan pasca banjir.

Pegawai Bomba, Safiq Mohamad menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana) daripada Anwar Ibrahim sebagai penghargaan kemahiran tinggi beliau dalam penyelamatan khususnya pengendalian haiwan berbisa.

“Anugerah ini adalah untuk semua warga jabatan khususnya pasukan saya Squad King Cobra JBPM serta Akademi Bomba Wilayah Timur yang sentiasa menyokong usaha memartabatkan JBPM,” katanya.

Sementara itu, Lee Soch Khim yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif), merupakan seorang usahawan wanita yang menerajui dua syarikat swasta Perakaunan dan Pencukaian, Wellpoint Group of Companies dan Kalyx Group of Companies yang turut aktif dalam kerja-kerja sosial.

Antaranya, mewujudkan program penanaman 1 juta pokok di Pulau Pinang selain mewujudkan Pasar Percuma kepada masyarakat di Kadun Jawi, Nibong Tebal; melancarkan Childhood Cancer Project di Hospital Pulau Pinang dan aktif memberi sumbangan pendidikan untuk kanak-kanak Bajau Suluk di Sabah.

Pos Malaysia dipilih sebagai penerima Anugerah Majikan (Syarikat Besar/Syarikat Bukan Kerajaan) sempena sambutan Hari Pekerja 2024. kelmarin.

Bagi menghargai sumbangan majikan pula, Anugerah Majikan (Syarikat Besar/Syarikat Bukan Kerajaan) dianugerahkan kepada Pos Malaysia Bhd manakala Anugerah Majikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dimenangi syarikat Shining Continuum Symmetry Sdn Bhd iaitu syarikat perkhidmatan makanan dan minuman, O’BRIENS IRISH SANDWICH CAFÉ.

Ditubuhkan tahun 1988 di Ireland dan berkembang lebih 200 kedai di seluruh dunia selain 25 cawangan di Malaysia, pihaknya komited mencari tenaga kerja berkemahiran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian Pua, pengiktirafan itu adalah bukti komitmen memupuk persekitaran kerja kondusif dan memberi galakan untuk lebih memperkasakan tenaga kerja berkemahiran dan produktiviti tinggi.

Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif) menjadi milik Suratmin Alwee, seorang pekerja setia dan berkhidmat selama 28 tahun sebagai Penyelia Operasi Di Jabatan Kontena Terminal, Johor Port Berhad.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port Berhad itu pernah menerima Anugerah Kepimpinan Kesatuan Sekerja Negeri Johor serta Anugerah Kepimpinan Kesatuan Sekerja Contoh Peringkat Kebangsaan kerap terlibat dalam aktiviti masyarakat dan sosial.

Sementara itu, Anugerah Media (Individu) yang diperkenalkan buat pertama kali, mengiktiraf wartawan Harian Metro, Mohd Alhafiz Ithnin.

“Kejayaan ini bukan menilai penerbitan karya di saluran media tetapi juga penglibatan aktif dalam sukan dan sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN