Kerajaan boleh ambil alih Coliseum, bangunkan Panggung Malaya - Utusan Malaysia

Kerajaan boleh ambil alih Coliseum, bangunkan Panggung Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy, berharap kerajaan dapat mengambil alih bangunan ikonik Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk dijadikan Panggung Malaya yang hanya menayangkan naskhah anak tempatan.

Zul berkata, cadangan tersebut bukan sahaja dapat membantu industri perfileman malah memelihara bangunan warisan yang sudah berusia 105 tahun itu.

“Baru-baru ini saya ke Terengganu, panggung wayang lama tempat saya bekerja dengan upah seringgit sehari, kini sudah bertukar jadi kedai dua ringgit.

“Sebenarnya kalau dulu-dulu, banyak sahaja panggung wayang yang dibina di lorong atau tepi jalan. Bukannya di dalam pusat beli belah seperti hari ini.

“Kita patut contohi Hollywood, panggung mereka di tepi jalan masih meriah. Ia mudah diakses. Filem yang ditayangkan juga bukan calang-calang dengan pancaran pencahayaan yang baik,” katanya.

Zul berkata demikian ketika mengulas mengenai bangunan Coliseum yang mengandungi pawagam, kafe dan hotel termasuk dalam senarai untuk dijual oleh ejen hartanah Knight Frank Malaysia baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah Aswara itu juga mencadangkan agar lesen panggung untuk kadar kutipan tiket di Coliseum diberikan sepenuhnya kepada penggiat seni.

“Sistem pembahagian tiket hari ini ialah 50-50 antara penerbit dan pemilik panggung.

“Dengan wujudnya Panggung Malaya yang diambil alih oleh kerajaan, hasil kutipan tiket boleh diberikan sepenuhnya kepada penggiat seni,” katanya.

Bangunan Coliseum merupakan antara pawagam tertua di malaysia yang dibina pada tahun 1920 dengan konsep ‘Art Deco’. Kafe Coliseum bagaimanapun ditutup pada tahun 2021 akibat gagal bertahan kerana pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya