PETALING JAYA: Pelakon dan peragawati, Alicia Amin tidak pernah merasakan perceraian adalah penamat jalinan hubungan baik dengan bekas suaminya, Farzan Iqbal.
Jelasnya, mereka tetap berhubung dengan baik dan lebih selesa dengan status sebagai kawan berbanding sebagai suami isteri.
“Mungkin dia bukan lagi suami saya, tetapi dia tetap doktor saya. Dia seorang doktor yang sangat bagus ya. Kami berdua meneruskan hidup masing-masing dengan baik.
“Apa yang berlaku dahulu antara kami, sudah berlalu. Dulu asyik bergaduh, tidak sehaluan buat lagi mahu teruskan perkahwinan kan. Kami berdamai sebagai sahabat.
“Dulu kalau rasa jelik dengan perangai, tinggal serumah lagilah rasa sakit hati. Tetapi sekarang sudah tidak tinggal sebumbung, kalau marah pun esok dah lupa,” ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap tentang kerjaya seni, Alicia kini mahu lebih dokus membina jenamanya dalam bidang lakonan.
“Saya rasa sudah tiba masa untuk mula memperlahankan kerjaya sebagai peragawati. Beri ruang dan peluang kepada wajah baru.
“Bukan apa, dalam dunia modelling, kita tidak dilayan seadilnya, tidak dibayar setaraf kerja dan komitmen. Jadi tak apalah, beri budak baharu belajar.
“Saya sudah 15 tahun dalam dunia peragaan. Sudah masa mencari ruang baharu dan bidang lakonan cukup dekat dengan saya,” kongsinya.-UTUSAN