KEGAGALAN rumah tangga empat tahun lalu meninggalkan parut buat hati pelakon dan penyanyi Lufya Omar.
Beberapa tahun Lufya menanggung trauma. Mungkin baginya sebelum ini tidak akan ada lagi perkahwinan kerana hatinya sudah tertutup buat jodoh.
Namun siapalah kita untuk melawan takdir yang ditentukan Tuhan. Hati yang keras pun boleh melentur lembut sekiranya Allah itu berkehendak.
Kini pelakon berusia 38 tahun itu berdamai dengan takdir. Pintu hati yang sebelum ini rapat tertutup sedikit terbuka sedikit demi sedikit.
Lufya ketika ditemui baru-baru ini memaklumkan dia sedia menerima jodoh. Namun, apa yang diharapkan adalah lelaki yang budiman, menjadi pembimbing ke arah jalan yang lebih baik.
“Perceraian sebelum ini membuatkan saya trauma. Sekarang saya dalam fasa bahagia membesarkan anak.
“Bukan nak cakap saya ini baik. Tapi saya faham, apa yang terjadi sebelum ini adalah ujian yang bersifat sementara. Kefahaman itu saya perolehi apabila mendalami ilmu agama.
“Dan sekarang, saya sudah mula berdoa agar dibukakan hati dan dipertemukan dengan orang yang tepat untuk saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lufya sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Dr. Che Hafiz Che Baharum pada 2016 namun perkahwinan mereka hanya bertahan lima tahun.
Hasil perkongsian hidup, bekas pasangan suami isteri itu dikurniakan seorang cahaya mata bernama Laana Haura.
Kata Lufya keterbukaan untuk kembali berumah tangga juga terdorong oleh keinginan anaknya untuk melihat Lufya berkahwin semula.
“Saya tak boleh hanya memikirkan perasaan sendiri, sebaliknya kena ambil kira perasaan anak saya juga.
“Dia pula sekarang ini asyik bertanya bila saya nak berkahwin lagi sebab dia mahukan seorang ayah.
“Saya minta dia doakan jika benar dia mahukan seorang ayah.
“Laana adalah segalanya untuk saya. Saya sanggup korbankan kerjaya seni semata-mata untuk besarkan dia. Jadi apa pun keputusan yang saya buat, kena ambil kira perasaannya juga,” jelasnya.