PETALING JAYA : Pelakon, Nur Fazura, menasihatkan masyarakat agar tidak takut mendirikan rumah tangga akibat kegoyahan rumah tangga yang kerap berlaku di Malaysia pada hari ini.
Sebaliknya pelakon drama Lelaki Itu mencadangkan agar setiap individu untuk mengenal dengan lebih dekat pasangan masing-masing sebelum mendirikan rumah tangga.
“Buat yang takut untuk berkahwin, perbanyakkan berdoa jangan terburu-buru buat keputusan untuk berkahwin.
“Jangan pandang rupa semata, mungkin sekarang nak yang ada segak tapi rupa saja tak cukup.
“Seeloknya ambil masa untuk kenal hati budi, tahu pasal latar belakang bakal suami itu macam mana dan pastikan dia mampu untuk menjalankan tanggungjawab terhadap isteri dan anak,” ujar ibu kepada sorang cahaya mata.
Fazura semasa ditemui di tayangan episod akhir drama Lelaki Itu di sebuah hotel ibu negara baru-baru ini.
Sebelum itu, Fazura turut meluahkan kegusaran hatinya untuk membawa watak Imani iaitu isteri kedua kepada Syed Mirza yang dilakonkan Datuk Adi Putra kerana melakonkan watak sebagai penyondol dalam drama itu.
“Saya ada beritahu penerbit, Erma Fatima bahawa saya takut nak bawa watak penyondol ini tetapi dia cakap pada saya, ‘Tak payah takut. Watak ini adalah ‘penyondol’ yang tak sengaja. Dan percayalah orang akan sukakan kamu,” katanya.