OSLO: Ireland, Norway dan Sepanyol hari ini mengumumkan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat sekaligus membawa harapan besar buat penduduk yang ditindas oleh rejim Zionis.
Langkah penuh bersejarah itu menyebabkan Israel mengarahkan duta besarnya di Norway dan Ireland pulang serta-merta. Tindakan sama dijangka turut dilakukan terhadap duta besarnya di Sepanyol.
Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide berkata, pengiktirafan rasmi oleh tiga negara itu terhadap negara Palestin yang merdeka akan berkuatkuasa pada 28 Mei depan.
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store membuat pengumuman tersebut di Oslo, manakala Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid dan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris di Dublin.
Beberapa minggu lalu, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk mengambil langkah sama dan meyakini penyelesaian dua negara adalah penting bagi mencapai keamanan yang berkekalan di rantau tersebut.
Pengumuman ini akan menghasilkan momentum untuk pengiktirafan negara Palestin oleh negara-negara EU lain serta boleh mendorong langkah-langkah selanjutnya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. -AGENSI