PETALING JAYA: Kelantan menjadi pilihan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) sebagai tuan rumah Hari Puisi Malaysia Ke-4 (HPM-4) pada 13 dan 14 Jun ini.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata acara yang akan diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang itu dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), UiTM dan persatuan-persatuan penulis di Kelantan.
Katanya, menjelang acara rasmi pada hari berkenaan, satu program Pertandingan Mencipta Puisi, Video Baca Puisi dan Video Dendangan Syair Bertemakan Perpaduan akan diadakan melalui laman Facebook Pemuisi Nasional Malaysia bermula 1 hingga 7 Jun.
Dr. Radzuan yang juga dikenali dengan nama pena Wanrazuhar berkata, acara lain termasuk Seminar Puisi Malaysia Mutakhir, Program Bedah Buku, Dikir Barat, syair, gurindam, sketsa ARSIDRA dan lagu puisi oleh peserta-peserta dari seluruh negara.
“Pada sebelah pagi hari pertama, Seminar Perkembangan Puisi Malaysia Mutakhir akan menampilkan Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman.
“Pada sebelah petang pula berlangsung program Bedah Buku oleh Datuk A. Aziz Deraman dan Rosli K. Matari.
“Pada hari kedua, program kemuncak pada pukul 8.30 malam bermula dengan ucapan perasmian oleh tokoh yang diundang serta pengumuman 30 pemenang cenderamata khas Program Pertandingan Mencipta Puisi, Video Baca Puisi dan Video Dendangan Syair. Pada malam itu juga, PEMUISI akan menyampaikan Anugerah Khas kepada lima Tokoh PEMUISI Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sambutan HPM mula diisytiharkan pada 13 Jun 2021 oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).
Setelah dua kali diadakan di ibu negara, penggiliran tuan rumah mengikut negeri bermula di Melaka pada tahun lepas dengan HPM-3 dirasmikan Ketua Menteri Melaka.
Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Datuk Wanrazuhar (012-2118303), Marzelan Perindu Seni (013-2695581) atau Drs. Pandian V (012-6489703). – UTUSAN