Hanya ada RM12 dalam poket

Bapa bayi naik motosikal dengan alat bantuan pernafasan hanya ada RM12 dalam poket

MOHD Azlan Ishak bersama Mohd. Aariz Zafran yang menghidap paru-paru kronik, gerd dan saiz limpa yang besar memerlukan alat bantuan pernafasan untuk tempoh 24 jam ketika ditemui di Kuala Kedah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Pada hari itu, kami perlu membawa anak ke hospital. Wang yang ada cuma RM12 dan itulah saja yang ada dalam poket sewaktu gambar kami diambil beberapa hari lalu.”

Demikian kongsi Mohd. Azlan Ishak, 36, berhubung kisahnya dan isteri, Norhidayu Halim, 35, yang membawa bayi mereka berusia 11 bulan membonceng motosikal dalam keadaan memakai alat bantuan pernafasan.

Katanya, mereka tidak menyangka gambar dirakam pengguna jalan raya itu tular sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan hasrat ingin membantu keluarga itu.

“Anak kami, Mohd. Aariz Zafran menghidap penyakit paru-paru kronik, gerd dan saiz limpa yang besar yang menyebabkan dia perlu menggunakan alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) untuk tempoh 24 jam.

“Selama ini saya cuma menunggang motosikal dan tak tahu keadaan anak di belakang. Apabila tular gambar tersebut, barulah saya tahu bagaimana keadaannya anak dikendong isteri di belakang dan keadaan itu membuatkan saya menangis,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi dalam laman media sosialnya memaklumkan, kisah keluarga itu mendapat perhatian Perdana Menteri untuk dibantu agar dapat menambah baik kehidupan mereka.

Mohd. Azlan berkata, dia hanya bekerja sebagai pembantu pelantar ikan di Kuala Kedah dengan pendapatan harian antara RM30 hingga RM50 sehari.

“Baru-baru ini saya diserang demam campak dan tidak dapat bekerja selama 12 hari. Pada hari ketiga tidak bekerja, segala barangan keperluan seperti makanan, lampin pakai buang dan susu anak kehabisan. Kami terus bergegas mendapatkan bantuan segera Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan diberikan wang RM150. 

“Wang itulah yang kami belanjakan untuk membeli semua barang keperluan tersebut dan pada hari bawa anak ke hospital seperti dalam gambar yang tular itu baki dalam poket saya cuma RM12,” ujarnya.

Tambah Mohd. Azlan, meskipun Perdana Menteri menzahirkan keprihatinan terhadap keluarganya, mereka tidak bercadang untuk meminta perkara yang berlebih-lebihan kerana cukup sekadar dapat memenuhi segala keperluan anak mereka.

Sementara itu, Norhidayu berkata, sejak kisah mereka tular, beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan malah ada yang menyatakan mahu memberi mereka kereta untuk digunakan. 

“Namun setakat ini, kami masih belum dihubungi mana-mana pihak yang menyatakan hasrat untuk memberikan kereta. Begitu pun kami tetap bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyumbang. 

“Sebelum ini bukan kami tidak mahu memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau LZNK tetapi keadaan anak menyebabkan pergerakan kami terbatas. Bagaimanapun kami sudah dikunjungi pihak JKM pagi tadi dan permohonan terus dibuat dari rumah,” katanya. 

Mohd. Aariz merupakan anak tunggal pasangan itu. Namun Norhidayu turut memiliki empat lagi anak hasil perkahwinan terdahulu antaranya, anak sulung, Ahmad Hafizi, 17, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan adiknya, Iman Fairuzz Mikhail, 9, menghidap paru-paru kronik, jantung berlubang, sawan dan asma. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Nohidayu di talian 017-5748976 atau menyumbang di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya bernombor 0210029000677695. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya