PELAKON manis ini terpaksa mengabaikan cakap-cakap orang yang mengandaikan kemasukannya dalam dunia lakonan bertiketkan populariti ibunya, Noniswara Baharudin.
Sampai satu tahap, Erysha Emyra, 24, mungkin sudah lali dengan prasangka orang tentang perkara tersebut.
Bukan mudah menghapus persepsi. Agak lama juga Erysha berperang dengan pandangan tersebut.
Namun dia memilih untuk tidak membesarkan isu, hanya fokus perkara yang membawa kebaikan untuk kerjaya.
“Memang ada pihak yang menganggap saya mudah masuk industri sebab ibu saya pelakon. Saya tak boleh ubah telahan mereka.
“Bagi yang mengikuti Instagram saya pastinya mereka tahu yang saya jarang berkongsi perihal keluarga di media sosial, apatah lagi mahu mencanang saya ini anak Noniswara.
“Saya kalau boleh nak elakkan orang berprasangka saya tumpang populariti ibu sendiri.
“Tapi rasanya bukan isu kalau pun saya memilih masuk dunia lakonan atas pertolongannya. Asalkan ada bakat dan kesungguhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Satu per satu perkara yang perlu Erysha Hadap apabila bergelar pelakon yang lahir dari perut seorang pelakon. Belum lagi perbandingan yang masyarakat timbulkan antara si anak dengan ibunya.
Erysha menganggap perbandingan juga lumrah yang perlu dihadap anak seorang pelakon apabila mereka melangkah ke dalam bidang kerja yang sama.
“Memanglah akan ada rasa tertekan apabila si anak dibandingkan dengan ibunya.
Tapi saya cuba untuk ambil perkara ini daripada sudut positif.
“Saya baru nak menapak, bermula pun agak perlahan. Banyak lagi perkara yang saya kena belajar. Berilah saya sedikit waktu,” kongsinya.
MEERQEEN
Belum pun sedekad Emyra menjadi pelakon, satu per satu gosip percintaan yang memalit namanya.
Kalau sebelum ini dikaitkan dengan Hun Huqeem, kali ini Erysha dipadankan dengan Meerqeen pula.
Apatah lagi keduanya saling bekerjasama dalam drama Cinta Untuk Sekali Lagi, maka bermulalah cerita-cerita mengaitkan mereka.
“Menjadi kebiasaan bagi pelakon yang belum berkahwin untuk saling dipadankan dengan pelakon lain. Perkara itu normal.
“Saya dengan Meerqeen memang akrab sebelum kami masuk set penggambaran lagi.
“Kami hanya berkawan baik, tidak bercinta seperti dianggap ramai. Hubungan kami okey,” jelasnya.