KUALA LUMPUR : Restoren makanan halal tradisi masyarakat Cina, Chopstiks Asia menyasarkan tempoh 30 hari bagi menggerakkan inisiatif program amal Chopstiks Prihatin.
Pemiliknya, Kenneth Choong berkata, pihaknya berbesar hati mewujudkan program berkenaan yang digerakkan bagi membantu golongan tidak berkemampuan di sekitar Lembah Klang.
“Antara sasaran program Chopsticks Prihatin adalah anak yatim, warga emas yang tinggal di rumah jagaan, gelandangan, kumpulan ibu tunggal dan mana-mana pihak yang tidak berkemampuan.
“Ini juga menunjukkan bahawa Chopstiks Asia sentiasa prihatin dengan keadaan semasa di mana wujudnya golongan yang sentiasa memerlukan bantuan dan perhatian.
“Justeru, sebagai sebuah restoren yang menyediakan makanan di sekitar Lembah Klang, kami mengambil langkah untuk menyumbang makanan terus dari dapur Chopsticks Asia kepada golongan ini menerusi program ini,”katanya.
Kenneth berkata demikian semasa ditemui pada majlis sumbangan kepada Rumah Kasih Charity Home di Setapak, di sini, hari ini.
Selain itu, kongsi Kenneth, setakat ini, pihaknya cuma menyediakan sumbangan dalam bentuk makanan bungkus kepada golongan yang disasarkan.
“Buat masa ini sumbangan yang kami berikan adalah dalam bentuk makanan bungkus. Namun pada masa akan datang, saya akan mencuba menyediakan juga sumbangan dalam bentuk wang.
“Saya berharap langkah permulaan kami ini dapat membuka mata banyak pihak yang mungkin ingin menjalin kerjasama bagi menyalurkan sumbangan amal menerusi kempen Chopsticks Prihatin ini.
“Tentunya kami peluang kepada syarikat-syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan, GLC dan individu-individu yang berminat untuk turut sama-sama menyertai program ini dengan menaja sumbangan makanan,”katanya.
Tambah Kenneth, setakat ini sumbangan telah dibuat kepada tiga buah pusat kebajikan iaitu Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas ,Puchong, Rumah Limpahan Kasih Anak Yatim Dan ASNAF serta Rumah Kasih (hari ini).
Untuk sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan, sila hubungi Edelina Hamid di 019-8756968