Budayakan penggunaan teknologi dalam pertanian - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

Budayakan penggunaan teknologi dalam pertanian – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) peringkat negeri Perlis di pekarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Semua pihak perlu memainkan peranan bagi membantu usaha dalam membudayakan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian seiring dengan peredaran zaman masa kini.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkembangan teknologi dalam pertanian perlu diteroka antaranya seperti penggunaan dron bagi penyemburan baja secara tepat untuk meningkatkan hasil tanaman.

Titah baginda, fungsi dron amat membantu berikutan ia dapat menganalisis keadaan tanah dan menentukan pola penanaman serta mengesan hama penyakit.

“Manakala sistem teknologi era internet kebendaan (IoT) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pertanian ini dapat meningkatkan produktiviti kecekapan tanaman dan mengurangkan kos pengeluaran serta tenaga kerja,” titah baginda menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2024 di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dengan diiringi Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Dalam pada itu, baginda bertitah, pertanian perlu dipupuk sebagai hobi atau aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengisi masa lapang di samping membantu meningkatkan hasil pengeluaran makanan serta mengurangkan kadar kerbergantungan import.

“Sebagai contoh, terdapat set tanaman hidroponik yang boleh digunakan di kawasan perumahan dan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup serta menikmati hasil tanaman sayuran yang segar dan organik.

“Bagi kalangan pelajar, pihak jabatan atau agensi boleh membantu sekolah dalam menerapkan ilmu tanaman supaya dapat memupuk minat dalam bidang pertanian,” titahnya.

Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, semua jabatan dan agensi diseru agar dapat berganding bahu dalam menyampaikan perkongsian ilmu pengetahuan di dalam sektor pertanian ini buat orang ramai.

Titah baginda, golongan petani, peladang, penternak dan nelayan juga perlu menyahut peluang yang diberikan ini agar mendapat manfaat sewajarnya.

“Contohnya di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), terdapat sesi perkongsian ilmu pengetahuan berhubung cara pengendalian dron yang mampu memberi impak kepada peningkatan hasil tanaman padi,” titah baginda. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya