BAGI orang lama, apa lagi yang bertaraf seniwati seperti Ogy Ahmad Daud, perihal kelakuan dan kesungguhan seseorang pendatang baharu yang kononnya mahu jadi pelakon, sememangnya berada dalam pemerhatian mereka.
Bukan sebab mereka ini mahu berlagak diva atau tunjuk hebat, tetapi yang baharu masuk ke dalam industri itu pun harus tahu bagaimana cara membawa diri supaya hasil kerja sebagai satu pasukan dalam menjayakan sesebuah projek drama dan sebagainya tidak nampak pincang.
Jadi, apabila Ogy bersuara mengenai ‘kejelikkan’ perangai segelintir pendatang baharu terutama yang datangnya dari kelompok pempengaruh, Cik Bunga rasa wajar.
Lazimnya, kata-kata orang lama, nasihat-nasihat termasuk teguran yang disuarakan biasanya molek kerana intinya datang daripada pengalaman berharga mereka.
Apabila Ogy tegur pelakon baharu sibuk buat live di set, nak rakam itu ini, skrip pun tak baca atau baca pun tanpa ada penghayatan, Cik Bunga rasa sesuailah golongan seperti ini kena tegur. Kalau tidak, makin menjadi-jadilah perangai.
Cik Bunga setuju apabila Ogy sebut kelakuan sebegini bakal menyusahkan seluruh tenaga produksi.
Sebab yang ada di set, bukan hanya ada pelakon, ada kru, ada pekerja belakang tabir yang berhempas pulas siapkan segala-galanya dan pengarah yang tentunya mahukan naskhah yang dihidupkan menjadi.
Kalau diri seorang pelakon yang sememangnya sudah bagus dan berbakat, lainlah cerita kalau iya pun ambil sambil lewa nak baca skrip.
Tapi jarang juga pelakon berbakat buat begitu sebab masing-masing akan cakap diri masih belajar dan belum bagus, tanda merendah diri.
Ini tidak, sudahlah tidak berbakat mana, buat pula perangai tak semenggah di set. Belajarlah hormat orang lebih lama dan kalau sama-sama duduk raih ilmu dengan mereka pun tidak rugi.
Cik Bunga harap teguran Ogy ini pun dapat dipakai kepada semua pendatang baharu lain.
Datang masuk set, buat cara mahu bekerja betulbetul. Bukan sibuk dengan benda yang tidak perlu. Pendek kata, jangan mahu glamor sahaja masuk industri seni ini.