Beri nilai tambah industri tempatan tingkat gaji rakyat - Anwar - Utusan Malaysia

Beri nilai tambah industri tempatan tingkat gaji rakyat – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Industri tempatan akan diberi nilai tambah bagi meningkatkan gaji rakyat ke tahap lebih bermakna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri tempatan diberi nilai tambah khususnya sektor semikonduktor yang sedang mendapat tempat di mata dunia.

Katanya, pelan induk perindustrian menyasarkan pendapatan bulanan pekerja industri pembuatan meningkat minimum RM4,500 menjelang 2030.

“Bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran dalam kalangan anak muda, kita  melaksanakan kerjasama dengan gergasi industri dalam menstruktur semula pendidikan TVET negara. Agenda Kecerdasan Buatan (AI) juga diberi keutamaan melalui penubuhan fakulti AI pertama negara.

“Khazanah Nasional Berhad juga telah menggerakkan usaha melahirkan usahawan baharu sektor berpertumbuhan tinggi dengan dana RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam ini.

Beliau berkata, antara ikhtiar kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan terus dilaksana bagi menambah pendapatan golongan itu.

“Selain itu, gaji dan elaun tetap penjawat awam akan ditambah baik setelah belasan tahun tidak disemak. Seperti yang saya umumkan pada 1 Mei lalu, penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai 1 Disember depan.

“Seterusnya, kerajaan juga serius untuk menggubal Dasar Gaji Progresif. Kemelut gaji rendah khususnya menyangkut golongan muda dan para graduan akan dinoktahkan tidak lama lagi.

“Saya mengulangi harapan saya supaya majikan swasta mempertimbangkan perkara ini dengan serius dengan mengambil kira bebanan kos sara hidup dan keperluan kesejahteraan para pekerja pada masa ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya