ARAU: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa semua pihak agar berusaha membendung ancaman keganasan bermula daripada kecil.
Titah baginda, kesedaran mengenai bahayanya aktiviti keganasan ini perlu diterapkan kepada anak-anak agar tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang menganggu gugat keselamatan awam dan negara.
“Generasi penerus bangsa ini juga haruslah diberikan kesedaran untuk terus mengisi kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pahlawan terdahulu dengan menjaga keutuhan, keselamatan dan kedamaian negara,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs siri ke-13 2024 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Ikram Kariah Kampung Sena di sini semalam.
Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada 20 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Kampung Sena serta turut beramah mesra bersama anak-anak kariah selepas program berkenaan.
Para asnaf masing-masing menerima RM700 dengan jumlah keseluruhan RM14,000.
Mengiringi baginda pada majlis itu, Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim dan Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan.
Seterusnya baginda bertitah, generasi masa kini yang berada dalam dunia tanpa sempadan hendaklah diberikan kefahaman mengenai garis merah yang tidak boleh dilaksanakan dalam memperjuangkan sesuatu ideologi.
“Selain itu, perlu mengutamakan tindakan rasional serta tidak radikal serta tetap utuh mentaati perintah Ulil Amri demi kestabilan negara yang berpanjangan,” titah baginda.-UTUSAN