Bayi lelaki tidak berpakaian, kesejukan ditemukan di kedai ayam - Utusan Malaysia

Bayi lelaki tidak berpakaian, kesejukan ditemukan di kedai ayam

KEADAAN bayi lelaki yang ditemukan di sebuah kedai ayam di Jabur Kubur, Jalan Air Putih, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang bayi lelaki tidak berpakaian dan menggigil kesejukan
ditemukan di sebuah kedai ayam di Jabur Kubur, Jalan Air Putih, di sini, hari ini.

Penemuan bayi dipercayai berusia seminggu di kedai tersebut merupakan lokasi yang sama seorang bayi perempuan ditemukan kira-kira setahun lalu.

Peniaga ayam, Raja Mahidi Raja Ayub, 38, berkata, bayi lelaki tersebut ditemukan oleh seorang pemandu lori ayam, kira-kira pukul 7.30 pagi.

“Pada awalnya, ketika pemandu lori itu mahu menghantar ayam, dia terdengar bunyi seperti anak kucing, namun bila dia menghampiri tempat saya berniaga, dia ternampak bayi sedang menangis dan menggigil kesejukan.

“Bayi itu hanya dialas menggunakan dua helai pakaian di atas lantai. Bila saya tiba di kedai, saya ambil baju lain dan balut bayi tersebut,” katanya ketika ditemui di premis di sini, hari ini.

Raja Mahidi yang sudah lapan tahun bekerja di kedai itu berkata, dia kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab itu yang tergamak membuang bayi tersebut.

“Kalau tak mahu anak, jangan buang, serahlah pada saya, saya rela menjaga bayi itu sebab saya dah lama menunggu anak kedua,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, bayi yang dianggarkan seberat kira-kira tiga kilogram dan cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh seminggu.

“Bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan.

“Kita akan menyiasat sama ada bayi ini dibuang oleh individu yang sama pada tahun lalu dan kita percaya mungkin individu ini penduduk tempatan,” katanya.

Hanyan berkata, pihaknya meminta kerjasama klinik kerajaan dan swasta supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya menerima wanita yang baru melahirkan bayi bagi mengesan ibu bayi tersebut.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Terdahulu, Utusan Malaysia pada 6 Julai tahun lalu melaporkan seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di lantai kedai itu dalam keadaan kesejukan dan dihurung semut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya