PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) memperluas kemudahan sistem pagar automatik (autogate) di pintu masuk negara kepada 36 buah negara lagi bermula 1 Jun ini bagi mengatasi kesesakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif itu diharap dapat mempermudah ketibaan pelancong dari negara-negara berkenaan sekali gus membantu merancakkan industri pelancongan negara.
Beliau berkata, kemudahan itu sudah diguna pakai bagi pelancong dari 10 negara berkuat kuasa Februari tahun lalu.
“Sebanyak 36 buah negara itu termasuk kesemua negara dari Kesatuan Eropah iaitu Austria, Republik Czech, Denmark, Estonia, Cyprus, England, Perancis, Greece, Hungary, Ireland, Itali, dan Latvia.
“Ia juga termasuk Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Jordan, Oman dan Qatar selain China, Kanada, Hong Kong dan Taiwan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2023 di sini, semalam.
Katanya, pihaknya juga akan menambah 40 lagi kemudahan sistem pagar automatik dalam masa terdekat bagi memenuhi kehendak itu sekali gus menjadikan 94 unit keseluruhannya.
Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan akan memohon supaya Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) meletakkan lebih banyak papan tanda serta pegawai pengiring di pintu masuk udara bagi melancarkan perkara itu.
Katanya, penambahbaikan ini terpakai di kemudahan pintu pagar automatik di semua pintu masuk negara termasuk udara, darat dan laut.
Sementara itu, Saifuddin berkata, ciri-ciri keselamatan pada kad pengenalan diri atau MyKad sudah memadai untuk mengelak ia dipalsukan.
Katanya, soal pemalsuan MyKad bukan hanya perlu diatasi secara pentadbiran sebaliknya aspek penguatkuasaan.
Beliau berkata, langkah penting yang perlu ditangani ketika ini adalah dari segi penguatkuasaan dan hebahan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dalam memiliki atau menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.
“Kita ada bahagian penguat kuasa di JPN malah, kita ada keupayaan mengesannya (MyKad palsu).
“Apakah kita bercadang untuk mengubah (MyKad)? Jika dari segi fizikal (ciri keselamatan) itu sudah memadai cuma kita nasihatkaan masyarakat supaya jangan sesekali terjebak (memalsukan Mykad),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kes MyKad palsu digunakan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini serta apakah kerajaan berhasrat menambah baik ciri keselamatan dokumen itu. – UTUSAN