'Aloha Party': Pemilik Summer Bay Resort dikompaun RM25,000 - Utusan Malaysia

‘Aloha Party’: Pemilik Summer Bay Resort dikompaun RM25,000

RAZALI Idris (kiri) mempengerusikan perbincangan bersama pengurusan Summer Bay Resort di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemilik Summer Bay Resort di Pulau Lang Tengah di sini dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM25,000 setelah didapati bersalah menganjurkan parti liar, ‘Aloha Party’ di resort itu pada Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan itu diambil setelah mendapati penganjuran program tersebut dilakukan tanpa permit dan melanggar Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

Menurutnya, pihaknya juga telah memanggil pemilik resort tersebut untuk memberi penjelasan mengenai penganjuran pesta tersebut sebelum mengambil tindakan berkenaan.

“Kita telah memanggil pemilik resort dan pengurusan untuk hadir mmberi penjelasan. Daripada penjelasan tersebut kita dapati banyak perkara atau Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dilanggar.

“Antaranya program tersebut telah diadakan secara ulangan setiap tahun tanpa pengetahuan pemegang taruh seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), polis dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perbincangan bersama pengurusan Summer Bay Resort di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kerajaan negeri akan melakukan siasatan terhadap dakwaan penganjuran ‘Aloha Party’ di sebuah resort terkenal di Pulau Lang Tengah, di sini, pada Isnin lalu.

Selain itu, Razali memberitahu, pemilik resort itu juga tidak dibenarkan menganjurkan parti tersebut pada tahun-tahun akan datang, walaupun didakwa diadakan secara tertutup untuk pengunjung sahaja.

Pada masa sama, menurutnya, kerajaan negeri memberi amaran semua semua resort dan ejen pelancongan di pulau-pulau di negeri ini mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang lagi selepas ini.

“Saya nasihatkan pengusaha dan agensi pelancongan jangan ambil kesempatan untuk lakukan kecelakaan maksiat di negeri Terengganu.

“Kita ada SOP (prosedur operasi standard) dan akan ambil tindakan sewajarnya kepada merela yang terlibat dengan perbuatan melanggar tatacara dan peraturan,” katanya.

Razali menambah, kerajaan negeri akan meningkatkan pemantauan di semua resort dan pusat percutian di negeri ini bagi mencegah kejadian tersebut daripada berulang pada masa akan datang.

Malah, katanya, pihaknya juga akan mengkaji semula enakmen hiburan negeri untuk menaikkan kadar kompaun bagi menimbulkan kegerunan serta pengajaran terhadap pemain industri pelancongan yang cuba melanggar peraturan.

Dalam pada itu Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming pula berkata pihaknya memohon maaf kepada kerajaan negeri dan rakyat Terenggganu atas kekecohan yang berlaku.

Menurut beliau pihaknya akan lebih berhati-hati dala. menganjurkan sesuatu program pada masa depan bagi mengelak menyentuh sensitiviti umat Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya