TENOM: Saksi kesembilan memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini, tindakan Ebit Lew mengajak bertukar pasangan adalah satu penghinaan terhadap suaminya dan isteri beliau sendiri.
Saksi kesembilan yang juga pengadu dalam kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia berasakan Ebit menghina suaminya serta isteri beliau dengan mengajaknya bertukar pasangan untuk melakukan hubungan intim.
Katanya, menerusi pesanan aplikasi WhatsApp yang dihantar, Ebit juga menyatakan keinginan untuk tidur dengan pengadu serta bertukar-tukar pasangan dan mencuba seks baharu.
“Bagi saya ayat dari Ebit terlalu lucah dan saya rasa dia menghina suami saya dan isteri dia juga dengan menyuruh tukar pasangan iaitu dia buat hubungan intim dengan saya, dia suruh suami saya melakukan hubungan intim dengan isteri dia,” katanya semasa memberi keterangan semasa sesi pemeriksaan utama.
Pengadu memberitahu itu antara kandungan pesanan WhatsApp berunsur lucah yang diterima daripada pendakwah terkenal berkenaan antara pukul 2.30 hingga 4 pagi pada 18 Mei 2021.
Katanya, terdapat lebih 200 mesej berunsur lucah yang diterima daripada Ebit sepanjang tempoh tersebut.
Sebelum itu pada 9 Mei 2021, Ebit juga ada menghantar kira-kira 200 mesej berunsur lucah dalam tempoh antara pukul 4 hingga 5 pagi. Setiap satu minit, Ebit menghantar lima hingga tujuh mesej WhatsApp.
Malah katanya, Ebit juga ada menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp mengajaknya datang ke Kuala Lumpur.
Saksi memberitahu Ebit mengajaknya untuk datang ke Kuala Lumpur dan akan memberikannya tiket penerbangan. Namun, pengadu tidak menerima pelawaan tersebut.
Menjawab soalan pendakwaan tentang ayat ‘kacukan Pakistan, Pakistan main dengan Cina’ yang disebutkan dalam WhatsApp dihantar oleh Ebit, pengadu memberitahu mahkamah bahawa kacukan Pakistan merujuk kepada dia manakala Cina merujuk kepada Ebit kerana suami pengadu bukan berbangsa Cina.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.
Perbicaraan hari ini ditangguhkan dan disambung semula pada Khamis, pukul 2.30 petang. – UTUSAN