PUTRAJAYA: Ada yang berkata, perkembangan pesat Teknologi Kecerdasan Buatan (atau AI) berupaya merenggut ketenangan manusia yang terikat dengan evolusi biologi dan emosi yang bertarung mengejar peredaran zaman.
Ledakan perubahan teknologi yang muncul tanpa amaran mengundang resah dan rasa ingin tahu apabila sebuah mesin boleh berfikir serta bertindak seperti seorang manusia. Persoalannya, adakah elemen Revolusi Perindustrian ke-4 ini begitu menakutkan? Kupasan minda Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyantuni perkembangan AI negara menjawab pelbagai persoalan yang bersarang di fikiran semua.
Apabila Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang pertama di negara ini sewaktu pembentangan Belanjawan MADANI 2024, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dengan pantas mengambil cabaran ini dengan menubuhkan kumpulan pemikir AI agar semua IPT dapat berkembang sejajar dengan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan ini.
Zambry seakan dapat membaca pemikiran Perdana Menteri tentang pentingnya sebuah ekosistem AI yang diterajui oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Justeru, perubahan dan kepantasan AI dirangkum dalam kerjasama secara the whole of government approach yang bermula dengan Malaysia’s National Artificial Intelligence (AI) Roadmap 2021-2025 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diikuti dengan pelancaran AI untuk Rakyat dan Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) oleh Kementerian Ekonomi, serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang melibatkan hampir semua Kementerian penting, lalu membawa kepada keputusan kerajaan menubuhkan Kementerian Digital.
Digitalisasi Rakyat Memacu Ekonomi Negara
Menerusi ucapannya dalam Majlis Perasmian Program Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024, Perdana Menteri menyeru peningkatan digitalisasi rakyat dalam memacu ekonomi negara.
Untuk ini, Perdana Menteri percaya universiti memainkan peranan bagi membina persepsi positif dalam kalangan masyarakat terhadap evolusi AI serta menyebarkan ilmu dan kemahiran yang sesuai perkembangan semasa.
Pada peringkat permulaan, Fakulti AI bermula di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) dan ada juga konsortium dengan universiti lain.
Perdana Menteri turut menegaskan tentang kolaborasi kepakaran dengan universiti lain jika mahu menjadikan fakulti AI benar-benar berkualiti baik.
Selain itu, Anwar turut menyarankan agar penekanan yang lebih diberi kepada masyarakat untuk melonjak ke hadapan supaya tidak terkebelakang.
Pendekatan universiti pula harus berubah, perlu meninggalkan zon selesa sambil merangka perubahan sistem pendidikan yang lebih praktikal dan berlandaskan teknologi. Universiti juga tidak lagi boleh bekerja secara silo, tetapi menjalin sinergi erat dengan pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa.
Tiada Jurang Ekonomi
Namun, antara prinsip peluncuran AI yang sering ditekankan kerajaan adalah jangan diizinkan kemunculan AI mewujudkan kesenjangan pendapatan serta jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat.
Justeru, AI seharusnya membawa manfaat buat semua sebagai langkah persediaan menghadapi cabaran pekerjaan masa depan. Perdana Menteri juga menyeru agar semua rakyat tidak berasa cemas dalam menghadapi perubahan, contohnya perasaan takut kehilangan pekerjaan.
Ini kerana, teknologi baharu pastinya akan membawa pelbagai kemahiran serta pelbagai pekerjaan baharu.
Menurut beliau, program AI di universiti seharusnya bersifat inklusif, menyantuni para pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuklah mereka yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
Melalui pelancaran My AI Nexus 2024 dan konsortium AI bersama seluruh IPT, Perdana Menteri berharap agar teknologi AI dapat menyumbang dalam pembangunan bakat dan kemahiran masa depan.
Oleh kerana perkembangan teknologi ini bergerak dengan begitu cepat dan merentas pelbagai disiplin, tanpa kolaborasi seluruh IPT, kemajuan ilmu yang direncanakan tidak boleh pergi dengan lebih jauh.
Selain itu, adaptasi digital dalam kalangan mahasiswa juga perlu diperkasakan dengan menyisipkan elemen AI yang terkini dalam setiap bahan pengajaran.
Peranan Universiti
Tidak menunggu untuk bereaksi terhadap revolusi digital ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah bersiap siaga menyahut persoalan kerajaan tentang tahap kesediaan dalam menghadapi kepantasan teknologi yang ada di depan mata.
Contohnya, projek penubuhan Center for Artificial Intelligence Technology (CAIT UKM) di bawah Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM yang bermula sejak tahun 2005 lagi membuktikan keupayaan UKM menyesuaikan halatuju dan visi dalam merancang perkembangan teknologi terkehadapan seiring keperluan zaman.
Selain itu, UKM turut menubuhkan Institut Informatik Visual (IVI UKM) yang mempunyai kolaborasi dengan pelbagai rakan industri dari dalam dan luar negara.
Minda Anwar Ibrahim
Pemetaan idea dan minda Anwar Ibrahim seakan memberi nafas baharu kepada semua IPT dalam merencanakan agenda pendidikan tinggi negara berlandaskan teknologi terkini yang datang bersama peluang pekerjaan baharu.
Dengan persediaan yang ada, seluruh warga IPT percaya, Malaysia mampu menghasilkan modal insan yang lengkap dengan kemahiran teknikal, kreativiti serta pemikiran kritis untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin terhubung ini. Justeru, kita harus berlapang dada dalam menerima segala perubahan termasuklah perkembangan AI kian merebak ke serata dunia. Ibarat negeri berubah rasam, ibarat tahun berubah musim, begitulah kehidupan kita yang sentiasa melalui pelbagai proses evolusi yang harus disantuni. – UTUSAN
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)