PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bakal berkenan menyempurnakan perasmian sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 pada 25 Mei ini di Taman Tasik Shah Alam, Selangor.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, HLN 2024 akan berlangsung selama 10 hari bermula 24 Mei hingga 2 Jun depan sebagai platform kepada penggiat industri landskap untuk mempromosi dan memasarkan produk-produk mereka.
Beliau berkata, penganjuran HLN 2024 adalah bertujuan meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap landskap terutamanya dalam kalangan generasi muda, di samping menyebar luas kepentingan landskap terhadap kesejahteraan kehidupan melalui program pembangunan landskap yang komprehensif.
“Sambutan ini juga bertujuan meningkatkan kualiti pembangunan landskap negara dengan mewujudkan kesedaran, menarik minat dan pengetahuan dalam kalangan semua pihak terhadap landskap.
“Ia melibatkan semua lapisan masyarakat dalam usaha merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran sambutan HLN 2024 di sini hari ini.
Menurut Kor Ming, seramai 50,000 pengunjung dijangka hadir pada sambutan kali ini bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan Madani’ bagi mencerminkan kesinambungan usaha Kementerian melalui Jabatan Landskap Negara demi memperkasakan industri landskap sebagai sumber ekonomi Baharu.
Katanya, langkah ini dilaksanakan dengan mengumpulkan para penggiat industri landskap di bawah satu acara peringkat kebangsaan.
Menurut beliau, pelbagai acara dirancang untuk memeriahkan sambutan antaranya Larian HLN 2024, Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak, demonstrasi masakan From Garden To Kitchen, Pertandingan Melukis Mural dan Pembinaan Arca dari bahan kitar semula. – UTUSAN