ARAU: Westfield Global Sdn Bhd dan Marriott International memeterai perjanjian kerjasama bagi pengurusan hotel The Westin Penang.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan majlis menandatangani kerjasama itu yang berlangsung di Hotel Marriott Pulau Pinang, pada Isnin lalu.
Turut berangkat pada majlis berkenaan adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Westfield Global Sdn Bhd, Datuk Yeoh Yin Sean dan Naib Presiden Kanan (Pembangunan Hotel Asia Pasifik) Marriott International, Kevin Chen.
The Westin Penang dijangka memulakan operasinya pada tahun 2026 dengan menawarkan 217 bilik dan suite yang menyajikan pemandangan laut menarik.
Antara faktor tarikan utama hotel ini adalah lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan Kompleks Membeli Belah Gurney Plaza dan Gurney Paragon di Persiaran Gurney, Taman Rekreasi Gurney Bay Park dan pelbagai lokasi menarik lain di sekitarnya.
Pembinaan hotel ini bakal menjadi antara pilihan pengguna bagi menjalankan aktiviti dan pelbagai acara seperti perkahwinan, seminar, bengkel atau persidangan dengan penyediaan pelbagai fasiliti kelengkapan yang luas bagi menampung sehingga 1,000 orang peserta.
Untuk rekod, hotel ini juga bakal menjadi Westin Hotel keempat di Malaysia selain The Westin Kuala Lumpur, Westin Desaru Coast Resort, dan Westin Langkawi Resort & Spa.-UTUSAN