KUALA TERENGGANU: Lelaki warga emas yang hilang selepas keluar dari rumahnya sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia di Kampung Banggol Katong, di sini, hari ini.
Mayat Mohamad Ngah, 67, ditemukan penduduk berdekatan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kampung itu pada pukul 9.45 pagi tadi.
Anak sulung mangsa, Nurul Izzah Mohamad, 33, berkata, walaupun sedih dengan pemergian bapanya, namun mereka sekeluarga reda kerana misteri kehilangan tersebut berakhir.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, bapanya berubah menjadi semakin pendiam dan sering lupa banyak perkara.
“Arwah juga tidak mahu membeli baju raya untuk dipakai pada Aidilfitri ini dengan memberi alasan bajunya sudah banyak.
“Tak sangka pula, itu petanda arwah mahu meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, jenazah arwah bapanya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baharu Serada selepas solat Asar petang ini.
“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam mencari ayah saya selama ini.
“Sambutan Aidilfitri kali ini amat menyedihkan buat kami sekeluarga kerana kehilangan bapa yang tersayang,” katanya. – UTUSAN