Warga asing ‘bolot’ beli daging murah

Warga asing ‘bolot’ beli daging murah

WARGA asing beratur membeli daging tempatan di Jualan Agro Madani Edisi Pra-Shawal di Pentas Budaya Pantai Puteri, Melaka, semalam. – UTUSAN/AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jualan Agro Madani Edisi Pra-Shawal di Pentas Budaya Pantai Puteri dekat sini hampir mencetuskan ketegangan apabila warga asing ‘membolot’ pembelian daging tempatan.

Perkara itu mencetuskan rasa kurang senang beberapa penduduk tempatan apabila ada kalangan mereka tidak dapat membeli daging tempatan ditawarkan pada harga RM33 sekilogram berbanding harga sebenar RM38 sekilogram.

Sejak pukul 8 pagi hampir 30 warga asing beratur panjang untuk membeli daging tempatan. Kesungguhan warga asing itu mengejutkan penduduk tempatan.

Mereka yang tinggal di sebu­ah asrama berdekatan Pentas Budaya Pantai Puteri itu membeli daging tempatan antara tiga hingga lima kilogram (kg) seorang menyebabkan ramai penduduk tempatan tidak dapat membeli kerana habis tidak sampai dua jam jualan dibuka pada pukul 8 pagi.

Seorang penduduk, Husin Jantan, 61, dari Pekan Tangga Batu berkata, sepatutnya pe­niaga memberi keutamaan ke­pada penduduk tempatan membeli daging tempatan yang ditawarkan harga serendah RM33 sekilogram.

“Saya tengok warga asing dari sebuah asrama dekat sini beratur panjang beli daging murah.

“Keutamaan kepada kita orang tempatan sebab hendak sambut Hari Raya Aidilfitri tetapi mereka (pekerja asing) tidak ada keluarga dan bukan sambut Aidilfitri,” keluhnya.

Katanya, peniaga sepatut­nya mengehadkan jualan da­ging kepada pekerja asing hanya sekitar dua kilogram untuk membelinya.

“Bila tidak ada had, tengok­lah mereka banyak beli daging sampai lima kg setiap seorang, kita orang tempatan ada yang tak dapat beli,” ujarnya.

Seorang warga emas Yang Chik Che Mat, 65, dari Kampung Gelam pula berkata, sepatutnya peniaga memberi laluan kepada penduduk tempatan membeli daging berbanding warga asing.

“Lama makcik berdiri nak beli daging maklum harga murah tapi tengoklah yang beratur panjang warga asing. Saya nak sambut Aidilfitri mereka tidak pun patut bagi orang tempatan dulu,” katanya.

Menurutnya, dia juga rasa terkejut apabila peniaga terba­bit tidak mengehadkan pembeli­an kepada pekerja warga asing sehingga setiap seorang warga asing beli sampai lima kilogram.

“Mujur bila tiba giliran mak­cik dapat lah beli daging untuk buat masak rendang sebanyak 3 kg,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN