Wanita warga emas pengsan lihat rumah terbakar - Utusan Malaysia

Wanita warga emas pengsan lihat rumah terbakar

KEADAAN rumah seorang warga emas yang terbakar di Kampung Tua, Belanja Kiri di Parit. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Seorang wanita warga emas pengsan selepas melihat rumahnya di Jalan Masjid As-Saadah di Kampung Tua, Belanja kiri dekat sini, musnah dalam kebakaran semalam.

Wanita itu, Nor Paezah Abdullah, 63, beberapa kali dilihat ‘tumbang’ sebelum dipapah dan ditenangkan ahli keluarga.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.44 petang itu, rumah kelas B yang didiami wanita tersebut bersama tiga anaknya musnah dalam kebakaran dianggarkan 85 peratus.

Menurut anak Nor Paezah, Megat Khairil Idlan Megat Abu Shahudin, 35, kebakaran yang bermula di bahagian tengah rumah itu disedari ketika dia mahu ke dapur.

Katanya, dia segera berlari mendapatkan bekas air dan berusaha memadamkan kebakaran dengan menyimbah air.

“Ketika itu saya cuma fikir untuk padamkan api sahaja dan selamatkan barang-barang penting. Masa itu, tidak sedar langsung yang kedua-dua tapak kaki melecur.

“Apabila api sudah tidak terkawal, barulah saya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Saya minta bantuan jiran untuk hubungi bomba,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian hanya dia seorang sahaja yang berada di rumah manakala ibu dan adik-beradik lain menghadiri majlis pertunangan di rumah saudara berhampiran.

“Bila emak lihat keadaan rumah, dia beberapa kali tumbang. Saya risau dengan keadaan kesihatan emak sebab dia ada darah tinggi

“Saya mintak emak dibawa berehat ke rumah nenek yang terletak di sebelah. Emak masih trauma hingga tidak boleh bercakap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, turut musnah dalam kebakaran itu empat buah motosikal yang melibatkan kemusnahan 80 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah menziarahi keluarga mangsa bagi menzahirkan rasa simpati dengan kejadian menimpa mereka.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN