Video tular di Raub: Polis tutup jalan, elak pusingan U

Video tular di Raub: Polis tutup jalan, elak pusingan U

RAZARUDIN Husain dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada tindakan saman dikenakan terhadap pemandu kenderaan melakukan ‘u-turn’ melawan arus di laluan keluar Raub, Lebuh Raya Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bypass Raub dalam sebuah video tular semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mengambil langkah susulan dengan menutup jalan keluar itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, walaupun tindakan itu tidak sepatutnya berlaku namun buat masa ini pihak polis menekankan advokasi keselamatan jalan raya. 

“Memang tindakan (u-turn lawan arus) itu tidak sepatutnya berlaku tetapi buat masa ini, kita faham mereka semua nak balik kampung dan kita juga bukan mahu mencari kesalahan, tetapi hanya mahu permudahkan urusan semua.

“Kita akan lancarkan lalu lintas dan mungkin akan tutup laluan itu bagi mengelakkan perbuatan ‘u-turn’. Mungkin ini pendekatan kita,” katanya. 

Beliau ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, lebih 5,900 kekuatan anggota dan pegawai trafik di seluruh negara terlibat dalam Op Selamat 22 yang bermula 8 hingga 13 April ini. 

Katanya, enam kesalahan utama diberi penekanan iaitu memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong di garisan berkembar; memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit. 

Jelas beliau, pihak polis juga akan melakukan pemantauan dan kawalan aliran trafik terutamanya titik hitam dan lokasi panas. 

“Tumpuan kita apabila kempen ini (Op Selamat) adalah mendidik rakyat, sikap satu elemen penting yang mana pengguna jalan raya hendaklah bertanggungjawab antara satu sama lain.

“Kita juga mengingatkan orang ramai agar memandu dengan cermat dan memeriksa kenderaan terlebih dahulu. 

“Mereka yang balik kampung diminta memaklumkan kepada balai polis berdekatan bagi memudahkan rondaan cegah jenayah termasuk bukan Islam yang pergi bercuti,” katanya. 

Jumaat lalu, Razarudin melancarkan Op Selamat 22 sempena perayaaan Aidilfitri bermula 8 hingga 13 April ini. 

Bertemakan kempen Op Selamat siri ke-22 dengan tema rumah selamat, selamat sampai ke destinasi, beliau meminta kerjasama antara masyarakat dan PDRM agar sasaran dapat dikurangkan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN