Unimap laksana Program Saintis Muda Koh Panjee Ogos depan - Utusan Malaysia

Unimap laksana Program Saintis Muda Koh Panjee Ogos depan

ZALIMAN Sauli menerangkan serba ringkas tentang Program Saintis Muda Unimap-Koh Panjee yang bakal berlangsung pada Ogos tahun ini kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sejurus selepas majlis pelancarannya di Le Erawan Hotel, Phang Nga, Thailand. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHANG NGA, THAILAND: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan melaksanakan Program Saintis Muda Unimap-Koh Panjee secara bersiri bermula pada Ogos depan.

Simbolik majlis pelancaran program itu telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Unimap dalam majlis yang berlangsung di Hotel Le Erawan, di sini.

Turut berangkat pada majlis pelancaran itu adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli: Naib Timbalan Governor Phang Nga, Kollawat Sapsongsuk dan Pengarah Majlis Pentadbiran Wilayah Phang Nga, Tarathip Thongjerm.

Mengulas mengenai program berkenaan, Zaliman berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut bakal melibatkan pensyarah dan penuntut universiti berkenaan dalam melaksanakan program khas buat pelajar-pelajar sekolah di Koh Panjee.

“Program yang kita akan adakan buat pelajar sekolah di sana nanti adalah bertujuan bagi meningkatkan pengetahuan dan minat mereka dalam bidang sains, matematik serta teknologi.

“Jadi kita akan adakan program ini secara bersiri bermula pada bulan Ogos ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliman berkata, menerusi pelaksanaan program tersebut, Unimap bakal membawa rombongan penuntut mereka dalam kumpulan kecil sekitar 15 orang ke Koh Panjee bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

Katanya, rombongan tersebut akan membawa fasiliti dan produk Unimap seperti robotik dan dron bagi memberi pendedahan buat pelajar sekolah di sana.

“Menerusi pelaksanaan ini, kita harapkan pelajar-pelajar ini dapat meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan matematik,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliman berkata, pemilihan Koh Panjee bagi pelaksanaan program itu adalah berikutan pulau kecil tersebut hanya mempunyai sebuah sekolah dan turut dihuni oleh kira-kira 2,000 penduduk.

Tambahnya, pulau berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri dan jika dilihat dari pemandangan atas, penduduk di sana juga kelihatan seolah-olah seperti berada di atas air.

“Kita harapkan program yang akan dilaksanakan nanti akan membuka minda pelajar-pelajar di sana bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan atau teknologi di Unimap,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya