PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun yang tular dilaporkan hilang selepas dilarikan sebuah kereta berwarna hitam pada 11 April lepas ditemui selamat tanpa cedera pada hari sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Ambia Nordin berkata, kanak-kanak itu dijumpai semula kira-kira sejam setengah selepas hilang di kawasan rumahnya di Jeram, Kuala Selangor.
Beliau berkata, tindakan mengesan kanak-kanak itu dimulakan selepas polis menerima laporan pada hari sama, sebelum kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Orang ramai diingatkan sentiasa mengawasi anak yang berada di luar rumah pada musim perayaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun dilarikan kereta berwarna hitam ketika bermain di depan rumahnya. – UTUSAN