KANGAR: Kerajaan negeri sedang dalam proses bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur pelancongan di negeri ini dalam menyemarakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, selain itu, kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan juga telah menerima kelulusan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam menjayakan TMPs sepanjang dua tahun ini.
Beliau berkata, menerusi rangka promosi TMPs, kerajaan negeri turut menyertai beberapa program pelancongan antaranya seperti Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) sebagai usaha bagi menarik pelancong ke Perlis.
“Dan kita juga akan tingkatkan untuk bantu pengusaha-pengusaha swasta di negeri ini bagi membangunkan tempat pelancongan mereka, namun apa yang paling penting sekali adalah membabitkan rangka promosi dan penginapan,” katanya selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke 15 di Kompleks DUN, di sini, hari ini.
Wan Badariah berkata demikian ketika diminta mengulas titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sewaktu Istiadat Pembukaan DUN semalam.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah agar kerajaan negeri dapat meningkatkan lagi momentum pelaksanaan TMPs susulan trend pertambahan pelancong ke Perlis sejak kebelakangan ini.
Baginda bertitah, setelah empat bulan pelaksanaan TMPs, maklum balas diterima daripada pelancong sama ada dari dalam atau luar negara adalah sangat positif dan memberangsangkan.
Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, momentum bagi penganjuran TMPs sentiasa berterusan berdasarkan program-program yang dirancang oleh kerajaan negeri.
“Contohnya seperti Pesta Angin Timur (PAT) baru-baru ini, kita sasarkan seramai 350,000 orang pengunjung namun kehadirannya begitu memberangsangkan iaitu sekitar 376,000 pengunjung,” katanya.
Di samping itu, Wan Badariah berkata, dalam usaha menarik pelancong negara jiran Thailand ke Perlis, terdapat beberapa usaha akan dilakukan antaranya menerusi penganjuran acara sukan.
Bagi tujuan itu, Wan Badariah berkata, satu perlawanan bola sepak bawah 12 dan 13 tahun akan dianjurkan membabitkan penyertaan pasukan dari Thailand.
“Jadi di sini kita gunakan platform sukan untuk menarik pelancong ke Perlis sekali gus membantu menyemarakkan penganjuran TMPs,” katanya.-UTUSAN