Tiga warga Bangladesh maut nahas dua kenderaan - Utusan Malaysia

Tiga warga Bangladesh maut nahas dua kenderaan

MANGSA yang maut dalam kemalangan melibatkan kereta dan lori di KM 306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan dekat Kampar hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Tiga lelaki maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta Naza Citra dan sebuah lori jenis Isuzu di Kilometer (KM) 306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan pada pukul 1.37 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, nahas itu berlaku semasa kereta Naza Citra yang dinaiki lapan orang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur.

“Secara tiba-tiba tayar kenderaan tersebut pecah yang membuatkan pemandu kereta hilang kawalan lalu terbabas ke penghadang kiri jalan sebelum masuk semula ke lorong kiri.

“Sebuah lori jenis Isuzu datang dari arah belakang melanggar belakang kereta Naza Citra,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, impak pelanggaran itu menyebabkan tiga lelaki warga Bangladesh di dalam kenderaan Naza Citra meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara itu, seorang lelaki warga Bangladesh turut mengalami kecederaan serius iaitu pendarahan dalaman di perut, luka teruk di kepala dan tangan kiri.

“Empat lagi lelaki warga Bangladesh yang terlibat dalam nahas itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mohamad Nazri memberitahu, manga yang mengalami kecederaan serius dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapat rawatan lanjut menggunakan ambulans.

Dalam pada itu, pemandu lori jenis Isuzu iaitu seorang lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN