Tiga pemegang gelarang biduan, biduanita negara - Utusan Malaysia

Tiga pemegang gelarang biduan, biduanita negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Gelaran Biduan dan Biduanita Negara adalah penganugerahan kepada anak seni oleh Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Sehingga kini, hanya empat penyanyi legenda yang pernah menerima gelaran tersebut antaranya Allahyarham Saloma yang dianugerahkan pada tahun 1978, Allahyarham Sharifah Aini (2006), dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013). 

Saloma atau nama sebenarnya Amar Salmah Ismail, Ahli Mangku Negara (AMN) telah dianugerahkan sebagai penerima Biduanita Negara pertama pada tahun 1978. Anugerah yang diterima oleh beliau adalah hasil titik peluh dan jasanya untuk industri seni tanah air. 

Suara Saloma pertama kali berkumandang di radio secara tidak sengaja ketika pelakon dan penyanyi itu berusia 13 tahun sebelum menempa nama di pentas seni sebagai  pelakon dalam filem pertamanya bertajuk Pelangi sekitar tahun 1950-an. 

Kemudian Saloma mula mendapat tawaran berlakon dalam beberapa filem seperti Perkahwinan Rahsia, Norma, Chinta Murni, Sesal Tak Sudah, Empat Isteri, Keluarga 69, Anak Bapak, Ahmad Albab dan terakhir, Bila Hati Telah Retak pada tahun 1983. 

Sekitar tahun 1950-an hingga awal 1980-an, beliau antara penyanyi popular kerana memiliki suara yang lunak dan merdu.  Lagu pertama nyanyian Saloma ialah Pandang Kasih manakala lagu Jika Tak Berjumpa adalah duet pertama bersama S. Hamid. Hampir 45 buah lagu  didendangkan senimawati negara ini. 

Isteri kepada seniman agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ini turut melakar sejarah apabila menjadi penyanyi wanita tempatan pertama yang mendapat tawaran syarikat terkemuka  luar negara kerana kebolehan beliau menyanyi dalam Bahasa Inggeris.

Setelah Allahyarhamah meninggal dunia pada tahun 1983 akibat penyakit kuning, seorang lagi penyanyi wanita terkenal dan tersohor Malaysia iaitu Datuk Sharifah Aini dianugerahkan gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006. 

Anak kelahiran Johor itu merangkul tempat pertama dalam pertandingan Bintang Radio Television Singapura (RTS) pada tahun 1968 dengan mendendangkan lagu Tiga Malam. 

Kejayaan demi kejayaan dilakar sehingga beliau berjaya menghasilkan 140 album setiap dekad termasuk  album sulungnya berjudul Seri Dewi Malam. 

Pencapaian tersebut sekaligus melayakkan Allahyarham menerima pelbagai gelaran seperti Biduanita Pujaan Ramai, The Golden Voice dan Queen of Songs. 

Memiliki suara yang merdu bak buluh perindu, nama Sharifah Aini telah diabadikan dalam The Malaysia Book of Records bagi membalas jasa dan budi beliau kepada negara.

Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh Datuk Sharifah Aini adalah apabila beliau dinobatkan sebagai Penghibur wanita pertama yang menerima anugerah di Festival Filem Asia Pasifik 1977 di Korea serta  menjuarai pertandingan di Anugerah Lagu Asia Pasifik pada tahun 1975. 

Dalam pada itu, beliau antara artis Malaysia pertama yang mengadakan persembahan di Victoria Concert Hall, Singapura serta persembahan secara eksklusif di beberapa negara seperti Jerman, United Kingdom, Belanda, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Hong Kong, Jepun, Brunei, Singapura dan Indonesia

Bintang bertaraf lagenda, Tan Sri Sheikh Salim Muhammad Al Mahros atau lebih dikenali SM Salim telah dipilih menjadi penerima Anugerah Biduan Negara pada tahun 2013. Perjalanan seni Allahyarham bermula dengan pembabitan  sebagai penyampai radio secara sambilan.

Sekitar tahun 1950-an, beliau mula popular sebagai penyanyi lagu-lagu Melayu Klasik dan pernah menganggotai kumpulan Irama Melayu di bawah pimpinan Awalaudin, kemudian menyertai Orkestra Puspati yang diketuai oleh mendiang Alfonso Soliano. 

Sebelum menerima Anugerah Biduan Negara, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Seni oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1991 dan Anugerah Seri Wirama pada Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) 1997.

Beliau dianugerahkan gelaran Biduan Negara atas sumbangannya  memperjuangkan lagu-lagu asli melayu serta berjaya merakam album dalam setiap empat dekad.

Allahyarham  menghembuskan nafas yang terakhir pada 2016 akibat sakit tua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN